Friday, January 17, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkebun terapi tenangkan jiwa

    CHARLESTON, W. VA. – Apabila ketibaan musim bunga di Hemisfera Utara berlaku serentak dengan arahan tinggal di dalam rumah oleh kerajaan, keinginan untuk keluar dari rumah telah menukar taman di belakang rumah kepada ketenangan untuk minda dalam masa yang sukar ini.

    Pekebun yang telah pun tahu bahawa bekerja dengan tanah-tanah merupakan satu cara untuk berinteraksi dengan alam semula jadi berkata ia membantu membuang kerisauan mereka, sekurang-kurangnya buat sementara waktu.

    “Saya suka melihat tumbuhan mem-besar,” kata Lindsay Waldrop. “Ia bersifat terapeutik.”

    Waldrop, seorang penduduk Anaheim, California melahirkan rasa kebimbangan. Senaman sepatutnya membantu, namun pekerjaan baharu beliau sebagai profesor biologi kolej telah menghalangnya daripada melakukan senaman sebagai satu rutin.

    Datuknya, yang memperkenalkan beliau kepada aktiviti berkebun dengan menunjukkan kepadanya cara-cara menanam benih, meninggal dunia kira-kira setahun lalu.

    Gail Henrickson (kiri) dan anak perempuannya Melissa, membeli tanaman di sebuah pusat tempatan ketika menghadapi wabak COVID-19 di Richmond, Va. – AP
    Stephanie Owens bersama anaknya ketika mereka membersihkan tanaman di kebun di luar rumah mereka di Glen Allen, Va. – AP
    Seluar lama dikitar semula sebagai beg tanaman untuk herba di salah satu kebun yang diperuntukkan. – AP
    Ezra Gandy mengusahakan sebuah kebun di rumahnya di Selatan Fulton, Ga, bersama neneknya Melanie Nunnally. – AP

    Tambahan lagi pandemik koronavirus global kepada kesemua perintah berkurung, adalah mudah untuk melihat di mana fokus beliau sekarang.

    “Kadangkala saya suka duduk dan menggali lubang sambil mengelamun dalam persekitaran yang tenang,” kata beliau. “Di luar, saya lupa segala masalah. Berkebun memberikan saya sesuatu untuk dilakukan dengan tangan saya. Ia memberikan anda masalah berasingan untuk difikirkan daripada apa yang sedang berlaku. Ia memutuskan diri anda daripada media sosial.”

    Waldrop dan suaminya berpindah pada musim panas lalu dari New Mexico, di mana beliau tidak mempunyai peluang untuk berkebun dalam cuaca yang panas terik. Di rumah baharunya, beliau mengubah suai lamannya, memasang sistem penyaliran dan baru-baru ini menanam puluhan tomato, terung, lada benggala dan sayuran lain.

    Pada tahun berikutnya, Waldrop mengubah fikiran suaminya, yang pada mulanya tertanya-tanya bagaimana menggali dalam kotoran dan memindah barang-barang dianggap menyeronokkan.

    Selepas merasa tomato yang ditanam sendiri untuk pertama kali, beliau mengubah fikirannya.

    Keluarga juga mendapati berkebun memberikan kanak-kanak yang terkurung dalam rumah sesuatu untuk dilakukan, membina harga diri mereka dan memberikan kepelbagaian kepada masa yang diluangkan bersama.

    Di Miami, Annika Bolanos bukan seorang peminat cuaca panas dan nyamuk di selatan Florida. Namun keluar dari rumah baru-baru ini telah menjadi sesuatu yang amat penting.

    Bolanos bekerja di rumah membuat kek dan melakukan simpan kira dengan perniagaan golf suaminya. Tiga anaknya yang masih kecil menambah kesibukan beliau, dan bersama mereka berjaya menanam pelbagai jenis sayur dan herba.

    “Kami suka idea menanam sayuran kami sendiri,” kata Bolanos. “Sungguh seronok rasanya untuk memakan sesuatu yang anda tanam sendiri. Ia juga membantu anak memakan lebih banyak sayur dan buah memandangkan mereka rasa teruja untuk memakan apa yang telah ditanam oleh mereka.”

    Anaknya menyiram tanaman setiap hari dan menumpu pada apa yang ditanam.

    “Anda merasa cahaya matahari dan tiupan angin dan tidak perlu risau mengenai apa-apa pada masa itu,” kata Bolanos.

    Di Britain dan Jerman, terdapat premium yang dikenakan ke atas peruntukan – bidang tanah popular yang disewa untuk menanam tanaman untuk makanan.

    “Mereka yang mempunyai taman adalah yang bernasib baik,” kata Heidi Schaletzky, berdiri di laman di bawah pokok ceri di utara Berlin.

    Schaletzky dan suaminya telah mengusahakan satu bidang di taman komuniti ‘Negara Bebas’ sejak lapan tahun lalu, menanam strawberi, sayur salad dan kohlrabi. Setakat ini, akses ke taman masih dikecualikan daripada sekatan bertujuan menghentikan penularan virus di Jerman.

    “Kami boleh melihat orang lain juga,” kata beliau. “Asalkan mereka tinggal di kawasan pagar mereka.

    Tatkala cuaca menjadi panas, kedai kebun semakin sibuk kerana perniagaan lain ditutup semasa wabak.

    Di Tapak Semaian Almaden Valley di San Jose, California, pakar bunga ros John Harp telah melihat gabungan pekebun dan pelanggan tetap. Pelanggan tidak boleh masuk ke dalam kedai, maka tempahan dalam talian mereka dibawa ke kenderaan mereka di tempat letak kereta.

    “Di bandar, semua orang sedang menjalankan aktiviti berkebun sekarang,” kata Harp. “Mereka ingin menjadi individu berdikari.”

    Hollie Niblett, yang tinggal berhampiran Kansas City, Kansas, berharap taman dipulihkan, Niblett, yang mempunyai ijazah dalam terapi hortikultur, menguruskan taman berhampiran pintu belakang dapurnya, menanam bunga di laman berumput yang dihubungkan oleh satu lorong menerusi satu kawasan yang dibiarkan dalam keadaan semula jadi.

    “Terdapat banyak aktiviti yang menenangkan jiwa saya,” kata beliau. Buat masa sekarang, taman saya memberikan saya harapan, memberikan saya tujuan dan memberikan kaitan dengan sesuatu yang lebih daripada diri saya.”

    Untuk pekebun baharu, rasa kagum bakal menunggu. Di selatan Atlanta, kegemaran Ezra Gandy, 10 tahun, untuk bermain besbol telah terhenti. Dia dan neneknya, Melanie Nunnally, baru-baru ini memulakan tanaman, menanam strawberi, kubis, brokoli, kale dan asparagus.

    “Saya suka menggali dalam tanah disebabkan saya suka melihat semua serangga yang ada di dalam tanah,” katanya.

    Kumpulan KidsGardening.org mencadangkan supaya kanak-kanak menanam salad mereka sendiri atau melakukan aktiviti lain.

    Malah kebimbangan virus mungkin membawa kumpulan pekebun baharu yang bermula dari penanaman benih dan bukannya menghadapi risiko bersesak-sesak membeli tanaman baharu.

    Kendra Schilling dari Scott Depot, West Virginia, tidak mempunyai ruang untuk taman, maka beliau menanam ubi kentang dalam baldi dan cuba memikirkan bersama anak perempuannya apa yang dilakukan dengan benih sayuran lain.

    “Biasanya saya membeli tanaman dan memacaknya dalam tanah. Namun pada tahun ini kami akan mencuba menanam benih,” katanya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda