Oleh Sim Y. H.-
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kelmarin, berkenan berangkat ke Upacara Perbarisan Raksasa Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (HUT ABDB) ke-63 di Padang Kawad Institut Latihan (IL) ABDB, Penanjong Garison.
Mengiringi keberangkatan Baginda Sultan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Keberangkatan tiba Baginda Sultan dan kerabat diraja di Padang Kawad IL ABDB dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.
Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung beredar ke pentas diraja bagi menerima tabik hormat diraja dan seterusnya memeriksa barisan pasukan-pasukan perbarisan raksasa seramai 981 orang anggota ABDB yang terdiri daripada Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) berserta rombongan panji-panji Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan panji-panji pasukan ABDB, Rejimen Pasukan Khas (RPK), Askar Wanita, gabungan Pancaragam ABDB dan Serunai dan Tambur TDDB serta kenderaan dan aset ABDB di bawah Pemerintah Perbarisan, 724 Leftenan Kolonel Mohammad Ghazali bin Haji
Hussin.
Upacara disusuli dengan perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat oleh pasukan-pasukan perbarisan dengan membawa panji-panji Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan panji-panji pasukan ABDB dan diikuti dengan perbarisan mara ke hadapan untuk diperhatikan semula.
Baginda seterusnya berkenan mengurniakan titah diikuti dengan tiga kali laungan ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’ daripada perbarisan raksasa ABDB yang disembahkan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Bagi memberkati upacara berkenaan, doa telah dibacakan oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama (JAMA’AT), Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar.
Seterusnya, Baginda Sultan disembahkan lagi dengan tabik hormat diraja yang diikuti dengan terbang lalu pesawat-pesawat Blackhawk dan C295MW TUDB.
Sejurus terbang lalu, Baginda dan kerabat diraja dijunjung berangkat ke Mes Pegawai Waran dan Pegawai-pegawai Tidak Bertauliah (PTB) Kanan, Penanjong Garison bagi majlis santap ringan dan seterusnya bergambar ramai bersama PTB-PTB kanan ABDB.
Baginda Sultan dan kerabat diraja seterusnya dijunjung berangkat ke Padang Bola B menggunakan kenderaan Light Tactical All-Terrain Vehicle (LT-ATV) bagi menyaksikan acara Solidarity Jump (Penerjunan Perpaduan) iaitu persembahan terjun payung yang terdiri daripada 31 penerjun gabungan pasukan khas daripada 11 buah negara sahabat serta anggota daripada Skuadron 31 TUDB dan RPK yang diketuai oleh Mejar Pengiran Mas Sanusi bin Pengiran Haji Masuni dari RPK, ABDB.
Sejurus menyaksikan acara Solidarity Jump, Baginda dijunjung untuk bergambar ramai bersama peserta-peserta persembahan terjun payung.
Penglibatan dari negara-negara sahabat dalam sama-sama memeriahkan sambutan pada 2024, mencerminkan hubungan pertahanan yang mesra dan terjalin baik di antara ABDB dengan angkatan tentera negara sahabat yang mana adalah salah satu usaha meningkatkan kesefahaman dalam sama-sama menjaga keamanan dan kestabilan rantau dan antarabangsa.
Baginda Sultan dan kerabat diraja seterusnya dijunjung berangkat ke Dewan Nikmat bagi menyaksikan Pameran Keupayaan Tentera dan Industri Pertahanan yang menampilkan peralatan dan teknologi terkini yang terdiri daripada syarikat-syarikat industri pertahanan antarabangsa dari 20 buah negara, dihasratkan untuk membantu ABDB menjana usaha memperkembangkan keupayaan operasi ke arah pertahanan negara yang lebih mampan.
Baginda dan kerabat diraja kemudiannya dijunjung berangkat ke Mes Pegawai Penanjong Garison bagi majlis santap tengah hari.
Sejurus keberangkatan tiba, Baginda Sultan dan kerabat diraja dijunjung bagi Upacara Memotong Kek sempena Sambutan HUT ABDB ke-63, seterusnya menerima pesambah daripada gabungan pegawai-pegawai dan lain-lain peringkat ABDB serta diikuti dengan bacaan Doa Selamat oleh Pemangku Pengarah JAMA’AT.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat diraja kemudiannya dijunjung bagi majlis ramah mesra bersama duta-duta besar istimewa dan mutlak dan pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi serta penasihat-penasihat dan atase-atase pertahanan ke Negara Brunei Darussalam, para penerjun Solidarity Jump, para peserta kursus Maktab Turus di Akademi Pertahanan ABDB, kursus antarabangsa di Pusat Evolusi IL ABDB, para pesara ABDB, anggota gabungan peringkat ABDB dan para penaja.
Baginda seterusnya dijunjung bagi menandatangani Lembaran Kenangan Keberangkatan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat diraja dijunjung untuk bergambar ramai bersama mantan-mantan timbalan menteri pertahanan dan mantan-mantan pemerintah ABDB, jemputan khas, pegawai-pegawai kanan ABDB, anggota gabungan peringkat ABDB
dan juga penerjun-penerjun Solidarity Jump.
Sambutan HUT ABDB ke-63 membawa tema Bersama Menjayakan Wawasan Negara.