Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Pengumuman Keputusan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1444 Hijrah / 2023 Masihi yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas hari ini.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi jawatankuasa tertinggi musabaqah; Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Majlis dimulakan dengan bacaan oleh qari jemputan dari Malaysia, Ahmad Azfar bin Azraie yang merupakan Tokoh Anugerah Khas Murid Kafa Madani Peringkat Kebangsaan dan Johan Tilawah Peringkat Antarabangsa Mazamir Dawud bawah 15 Tahun Algeria 2022.
Majlis disusuli dengan sembah alu-aluan daripada Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin yang antara lain menyembahkan bahawa kemahuan untuk belajar membaca Al-Quran selain membaca dan mengkhatamkannya secara persendirian dan berkumpulan semakin meluas dalam kalangan orang ramai terutama jemaah masjid, selain dalam kalangan penjawat awam menerusi inisiatif mereka secara berkumpulan di kementerian-kementerian dan jabatan masing-masing yang sangat digalakkan.
Pada majlis itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan mengurniakan titah sebelum pengumuman keputusan musabaqah oleh Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh selaku pengerusi jemaah hakim.
Muncul johan qari dan qariah ialah Pengiran Muhd Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki dan Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri yang masing-masing menerima wang tunai $7,000, piala pusingan, hadiah iringan, sijil penyertaan dan pakej menunaikan fardu haji, bagi johan kali pertama, serta Akaun Tekad Haji berjumlah $2,000 sumbangan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd (IITH) dan Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB), dan sebidang kain tenunan Brunei sumbangan Syarikat Little Ummi.
Naib johan pula ialah Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri bagi qari dan Dr Hajah Siti Wardah binti Mejar (B) Haji Abdul Rahman bagi qariah dengan masing-masing memenangi wang tunai $5,000, hadiah iringan, sijil penyertaan, dan Akaun Tekad Haji berjumlah $1,500 sumbangan Perbadanan TAIB, IITH dan DHSB.
Manakala itu, Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya dan Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki masing-masing memenangi tempat ketiga sekali gus membawa pulang wang tunai $3,000, hadiah iringan, sijil penyertaan, dan Akaun Tekad Haji berjumlah $1,000 sumbangan Perbadanan TAIB, IITH dan DHSB.
Sejurus selepas itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menganugerahkan hadiah-hadiah dan cenderamata kepada johan qari dan qariah serta para peserta dan hakim-hakim
musabaqah.
Majlis juga diserikan dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh johan qari dan qariah, serta diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Musabaqah pada tahun ini membawa tema ‘Bersabar, Berikhtiar, Bertawakal dan Berdoa Menghadapi Ujian Dengan Petunjuk Al-Quran’.