Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan utus tahniah

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping dan Premier of the State Council, TYT Li Keqiang, serta kerajaan dan rakyat Republik Rakyat China sempena Ulang Tahun ke-70 Pengasasan Republik Rakyat China.

    Dalam titah perutusan kepada TYT Xi Jinping, Kebawah Duli Yang Maha Mulia merakamkan kegembiraan berjumpa dengan TYT semasa forum The Second Belt and Road Forum for the International Cooperation dan berpeluang bertukar-tukar pandangan tentang tatacara bagi mengembangluaskan rakan kongsi kerjasama strategik serta menerokai kerjasama dalam bidang baru, yang mempunyai sinergi di antara The Belt and Road Initiative dan Wawasan Brunei 2035.

    Baginda Sultan selanjutnya menyatakan Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China berkongsi persahabatan yang bersejarah dan kerjasama rapat dalam pelbagai bidang yang mempunyai kepentingan bersama, dan berharap akan terus bekerja bersama dengan Tuan Yang Terutama bagi mengukuhkan pertalian yang sungguh bernilai demi kepentingan kedua-dua buah negara dan rakyat masing-masing.

    Sementara itu, dalam titah perutusan yang sama kepada TYT Li Keqiang, Baginda Sultan sangat menghargai persahabatan mesra yang sekian lama terjalin dan juga kerjasama meluas yang membawa banyak kemanfaatan kepada kedua-dua buah negara.

    Baginda percaya rakan kongsi kerjasama strategik ini akan terus berkembang di masa akan datang dan berharap akan terus bekerja dengan Tuan Yang Terutama ke arah meningkatkan hubungan dua hala dan serantau.

    Pada mengakhiri titah-titah perutusan tersebut, Baginda Sultan menyampaikan salam sejahtera kepada TYT Xi Jinping dan TYT Li Keqiang dan semoga rakyat Republik Rakyat China akan terus menikmati kemakmuran yang berpanjangan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda