Friday, January 17, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berlakon mati untuk balik kampung

    SRINAGAR, 1 APRIL – Seorang penduduk sebuah kampung di pedalaman Kashmir dilaporkan berlakon sudah mati dan cuba melepasi sekatan polis untuk pulang ke rumah dengan menaiki ambulans.

    Hakim Din, 70, dikatakan dirawat di sebuah hospital di Jammu kerana mengalami kecederaan kecil di kepala dan terperangkap berikutan pihak berkuasa mengisytiharkan perintah berkurung.

    Din kemudian menerima cadangan seorang pemandu ambulans supaya dia berpura-pura mati untuk melepasi sekatan jalan yang dilakukan ketika perintah berkurung dilaksanakan di negara ini.

    Dia bersama tiga lagi lelaki menaiki ambulans itu kerana mahu kembali ke Poonch, sebuah wilayah yang bersempadan dengan Pakistan. Suprintendan Polis, Ramesh Angral, berkata empat lelaki dan pemandu ambulans itu memandu lebih 160 kilometer dan melepasi banyak sekatan jalan menggunakan sijil kematian palsu.

    “Ambulans itu bagaimanapun dihentikan di sekatan terakhir dan polis mendapati lelaki yang diselubungi kain dalam kenderaan itu kelihatan masih hidup,” katanya.

    Tambah Angral, lelaki itu ditahan serta dikuarantin dan semua yang ditangkap akan berdepan dengan tuduhan menipu selain melanggar arahan kerajaan. Ketika ini, tiada kes COVID-19 dilaporkan di wilayah Poonch, namun India sudah menetapkan 21 hari perintah berkurung sejak Rabu lalu, untuk menangani pandemik berkenaan. – AFP

    Polis menghentikan kenderaan di pusat pemeriksaan semasa perintah berkurung yang dikenakan kerajaan di seluruh negara sebagai langkah pencegahan terhadap penyebaran COVID-19 di Srinagar. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda