Oleh Nurdiyanah R.
Tidak lama lagi tanah air kita akan menikmati kemeriahan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-75 tahun, salah satu sambutan hari-hari kebesaran negara dengan pelbagai acara utama dan sampingan disusun bagi memeriahkannya.
Berkibarnya bendera besar negara di kawasan lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di ibu negara 1 Julai setiap tahun dan juga lazimnya diikuti dengan pengibaran bendera di peringkat daerah adalah satu manisfestasi bagi menzahirkan cinta dan kasih, rasa tanggungjawab, komitmen serta taat setia yang tidak berbelah bahagi pada kepimpinan dan pemerintahan raja yang kita kasihi.
Bersempena dengan sambutan itu, seluruh rakyat dan penduduk di negara ini adalah dikehendaki untuk mengibarkan bendera kebangsaan Negara Brunei Darussalam bukan hanya di rumah-rumah persendirian bahkan juga di kawasan pembinaan dan perusahaan, premis-premis perniagaan dan pejabat.
Kibarlah dengan teratur
Dalam pada itu, selaku rakyat dan penduduk yang taat setia kepada raja, maka adalah menjadi satu kewajipan dan tanggungjawab kita untuk mengibarkan bendera dengan megahnya dalam tatacara dan peraturan yang betul sama ada ketika menaikkan dan memasangnya.
Setiap bendera hendaklah diletakkan di tempat yang mulia dan terhormat kerana bendera melambangkan kedaulatan negara dan bangsa serta mengibarkannya mengikut peraturan dan cara yang telah ditetapkan dengan memastikan bendera tersebut dalam keadaan yang baik, bersih, tidak koyak, tidak pudar dan lusuh serta masih utuh keadaannya.

Menyentuh mengenai cara pemasangan yang betul, bendera hendaklah dikibarkan menegak menggunakan tiang bendera sepanjang 10 kaki dengan pendakap khas tiang bendera secara 30 hingga 45 darjah bagi di kawasan beranda.
Manakala bagi kawasan depan rumah gunakanlah tiang bendera tidak melebihi 20 kaki bagi bendera negara dan 30 kaki bagi bendera-bendera peribadi.
Sementara bangunan-bangunan kerajaan atau swasta pula hendaklah menaik dan mengibarkan bendera negara di atas bangunan dengan menggunakan tiang bendera sepanjang 10 kaki. Bagi hadapan bangunan pula ketinggian tiang bendera tidak melebihi 20 kaki.
Apa yang penting adalah jangan dipacak tiang bendera terus ke tanah. Sediakanlah tempat yang bersesuaian dan hendaklah gunakan tiang bendera seperti yang dinasihatkan serta elakkan memasang di belakang rumah atau bangunan.
Tanda taat setia penuh kesyukuran
Dengan adanya pengibaran bendera sempena hari keputeraan sememangnya ia mempamerkan tanda kasih serta syukur kita atas sambutan hari keputeraan raja Baginda Sultan yang bakal menjelang.
Kesyukuran perlu dilafazkan sama seperti penghayatan lirik lagu kebangsaan, agar raja yang kita kasihi kekal karar memerintah dan dilanjutkan usia.
Secara umumnya, bendera negara adalah citra sejarah dan jati diri bangsa bagi satu-satu negara.
Oleh itu, hormatilah dan kibarlah bendera kebangsaan kita dengan megahnya kerana ia adalah lambang identiti dan maruah negara. Justeru itu, janganlah mengabaikan bendera negara begitu sahaja, peliharalah dengan sebaik-baiknya.
Di samping itu, masyarakat perlulah sentiasa meningkatkan taat setia kepada raja dan tanah air dan memohon doa ke hadrat Allah SWT semoga negara yang kita cintai akan sentiasa dipayungi dengan sinaran rahmat dan perlindunganNya.