Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    ‘Bersama membasmi AIDS’

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar serahan Majlis AIDS NBD

    Epidemik AIDS sudah lama menjadi isu kesihatan utama di seluruh dunia, dan masih saja menjadi cabaran sejak empat dekad ianya dikesan.

    AIDS telah menjadi salah satu penyakit yang paling menakutkan bagi dunia dan sangat berbahaya kerana penyakit ini tidak hanya mengancam nyawa penderitanya sendiri, tetapi juga orang lain dari potensi penularan yang besar.

    Sebagai langkah untuk memupuk kesedaran AIDS, Hari AIDS Sedunia telah disambut setiap 1 Disember, di mana tahun ini membawa tema Equalize untuk mengambil tindakan yang praktikal di dalam membasmi AIDS. Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam menyarankan dan menyeru semua pihak untuk menangani ketidaksamaan dalam membasmi AIDS.

    Di dalam mesej sempena Hari AIDS Sedunia 2022, Yang Di-Pertua Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam, Awang Iswandy bin Ahmad menyatakan, bagi menjamin semua warga mendapat layanan yang baik, ketersediaan, kualiti dan kesesuaian perkhidmatan untuk rawatan, ujian dan pencegahan HIV akan dipertingkatkan.

    Selain itu juga, tambahnya, mengemas kini undang-undang, dasar dan amalan untuk menangani stigma dan pengecualian yang dihadapi oleh orang yang hidup dengan HIV serta yang terdedah dengan risiko tinggi dijangkiti HIV juga perlu supaya tidak terpinggir.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika menghadiri majlis sambutan sempena Hari AIDS Sedunia 2021 yang diadakan secara maya.
    Gambar fail, Awang Iswandy semasa mengikuti forum ‘Cinta Tanpa Sempadan’ sempena Hari AIDS Sedunia 2017.
    Gambar ramai peserta forum Hari AIDS Sedunia dengan tajuk Implications of HIV.
    Ahli kumpulan Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam semasa menyertai Brunei Unified Health Awareness di The Mall, Gadong.

    Hari AIDS Sedunia pada tahun ini menekankan keperluan untuk bekerjasama dengan semua bagi menamatkan ketidaksamaan yang menyebabkan AIDS dan wabak lain lebih mencabar untuk ditangani.

    Usaha yang dilakukan

    Menyentuh usaha-usaha yang dibuat oleh Majlis AIDS untuk menggalakkan pengesanan awal HIV, sukarelawan Majlis AIDS telah menjalankan program Ujian HIV outreach secara sulit dari tahun 2020 hingga tahun 2022.

    Hasil daripada sembilan sesi dijalankan, di mana 180 ujian telah dibuat di bawah program ini telah mengesan lima kes jangkitan baharu. Program yang dilaksanakan ini bertujuan untuk mengesan jangkitan HIV pada tahap awal supaya rawatan dapat dimulakan dengan efektif.

    Sokongan pelbagai pihak

    Pihak Majlis AIDS juga memuji usaha klinik-klinik swasta, yang mendukung usaha kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memudahkan akses orang ramai kepada ujian HIV.

    Dengan pengenalan penjualan kit HIV self-test yang kini terdapat di pasaran melalui rakan Majlis AIDS, Panaga Health, orang ramai diharap menggunakannya untuk mengetahui status HIV masing-masing.

    Kit HIV self-test ini adalah mudah digunakan sepertimana ART yang digunakan oleh orang ramai bagi pengesanan COVID. Saringan awal HIV membawa kepada diagnosis dan kit ini juga memudahkan pengesanan. Ini terutama sekali bagi orang-orang yang berkemungkinan dijangkiti HIV yang tidak selesa mendapatkan ujian saringan tersebut di fasiliti-fasiliti kesihatan.

    Ia memastikan bahawa mereka yang telah dijangkiti HIV boleh mendapatkan dan diberi rawatan untuk mereka menjalani kehidupan seperti biasa, malahan rawatan awal juga membantu mencegah penularan penyakit selanjutnya.

    Orang yang dijangkiti HIV yang menjalani rawatan berterusan dan mempunyai viral load yang tidak dapat dikesan, tidak akan dapat menjangkiti orang lain.

    Program dan kesedaran

    Program intervensi HIV bagi meningkatkan ujian HIV perlulah juga digandingkan dengan pendidikan mengenai HIV dan AIDS, dan di sinilah pendidikan kesihatan reproduktif dapat memberi sedikit sebanyak kesedaran mengenainya.

    Ini termasuk pengetahuan mengenai jangkitan hubungan kelamin, keganasan berdasarkan jantina, hubungan yang sihat, keganasan dan menjaga keselamatan, serta lain-lain lagi nilai di dalam menjaga kesihatan diri.

    Ketidaksamaan ekonomi, sosial, budaya, serta undang-undang mesti ditangani jika ingin menamatkan AIDS. Isu seperti kemiskinan, peluang pekerjaan, penerimaan terhadap orang yang dijangkiti HIV, pendidikan kesihatan seksual kepada belia, serta undang-undang yang menyekat perkhidmatan atau kerja HIV dan AIDS perlulah dikaji semula akan keperluan dan kepentingannya.

    Dasar politik, ekonomi dan sosial perlu melindungi hak semua orang dan memberi perhatian kepada keperluan masyarakat yang kurang bernasib baik dan terpinggir.

    Pihak Majlis AIDS melahirkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan di atas sokongan, kerjasama serta bantuan di dalam menjalankan kerja pengurusan jangkitan dan advokasi HIV, penderma-penderma, penyokong dan rakan-rakan strategik baik dari syarikat-syarikat korporat, institusi-institusi pendidikan, pemimpin akar umbi, agensi media dan sukarelawan.

    Penglibatan sukarelawan dan ahli keluarga Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam, termasuk belia-belia Majlis AIDS iaitu Kelab Penyinar, juga telah memberi sokongan, idea, usaha dan masa malah sumbangan kewangan dalam sama-sama membantu masyarakat Brunei Darussalam dalam HIV dan AIDS.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    3 konsistensi Beijing dalam hubungan China, AS

    BEIJING, 26 APRIL - Menteri Luar China, Wang Yi mengulangi pendirian Beijing mengekalkan tiga konsistensi dalam mengendalikan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) hari ini. Wang...