Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersatu fail tindakan undang-undang

    KUALA LUMPUR, 28 APRIL – Parti Bersatu memfailkan tindakan undang-undang untuk memohon supaya Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah.

    Permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya selaku pegawai awam pertubuhan parti itu menerusi Tetuan Chetan Jethwani & Company di Mahkamah Tinggi di sini pada 17 April lepas.

    Parti itu yang bertindak sebagai pemohon menamakan Johari serta empat Ahli Parlimen terlibat iaitu Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang) sebagai responden pertama hingga kelima.

    Dalam permohonan itu, parti berkenaan memohon suatu perintah untuk membatalkan keputusan Johari melalui surat bertarikh 16 Januari lepas yang menyatakan responden kedua hingga kelima telah memberi penjelasan dan mengesahkan bahawa tiada berlakunya kekosongan kerusi parlimen berkenaan berdasarkan tafsiran Perlembagaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Perlembagaan Bersatu.

    Bersatu juga memohon satu deklarasi bahawa empat ahli parlimen itu telah berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, selain perintah supaya Johari mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi semua kerusi parlimen berkenaan.

    Selain itu, parti berkenaan turut memohon perintah supaya Johari memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai kekosongan itu dalam tempoh 21 hari dari perintah terbabit.

    Sekiranya kebenaran diberikan dan sementara menunggu pendengaran semakan kehakiman, Bersatu memohon perintah penzahiran supaya responden-responden mengemukakan semua surat-menyurat dan rekod kepada dan daripada Johari berhubung maklumat serta penjelasan me-ngenai pemberhentian semua ahli parlimen terbabit, dan pengesahan bahawa tiada berlakunya kekosongan luar jangka. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda