Friday, October 11, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bertrand ‘korban’ dua Piala Dunia, fokus tingkat kesukaran terjunan

    KUALA LUMPUR, 12 MAC – Penerjun Malaysia, Bertrand Rhodict Lises terpaksa ‘mengorbankan’ penyertaan pada dua siri Piala Dunia Terjun 2024, bagi memberi perhatian kepada meningkatkan tahap kesukaran terjunannya menjelang Sukan Olimpik Paris 2024, Julai ini.

    Atlet terjun tunggal negara yang layak ke Sukan Olimpik 2024 itu berkata ia melibatkan kejohanan di Berlin, Jerman dari 21 hingga 24 Mac, diikuti dengan final super di Xi’an, China, dari 19 hingga 21 April.

    Selepas beraksi pada tahap kesukaran 3.0 sebelum ini, Bertrand memaklumkan Pengarah Teknikal (Terjun) Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Bryan Nickson Lomas sedang membimbingnya mengadaptasi terjunan 3.7 dengan memperkenalkan rutin pike.

    “Saya tidak pergi dua Piala Dunia sebab takut tidak cukup masa untuk tingkatkan kesukaran terjunan.

    “Perubahan dari 3.0 ke 3.7 melibatkan tukar (rutin) back 3 1/2 ke pike dan baru sahaja belajar selepas tiba di Malaysia pada Rabu lepas,” katanya kepada Bernama.

    Gambar Bernama

    Bertrand, 19, sebelum ini menamatkan acara 10 meter (m) platform lelaki di tempat ke-10 daripada 11 penerjun dengan mencatatkan 389.85 mata, pada Piala Dunia Terjun 2024 di Montreal Kanada pada 2 Mac.

    Penerjun China Yao Hang menjuarai acara itu dengan mengumpulkan 533 mata, sementara penerjun dari Mexico Randal Willards Valdez menang perak (530.90 mata) manakala seorang lagi penerjun China Lian Junjie di tempat ketiga (514.65 mata).

    Ditanya sekiranya beliau berpuas hati dengan pencapaian berkenaan, Bertrand tanpa berselindung mengakui kecewa dengan persembahan dipamerkan apabila buat pertama kali merekodkan bawah 400 mata.

    “Pertama kali lompat bawah empat ratus (mata), jadi kurang puas hati namun pertandingan di Kanada merupakan pengalaman yang baik, apabila semua yang masuk final benar-benar berkelayakan sebab ada yang bekas (juara) Olimpik,” katanya.

    Sementara itu, Bryan yang juga bekas penerjun kebangsaan berkata pihaknya masih menunggu ‘lampu hijau’ daripada beberapa negara yang dipohon MAS, untuk menjadi pangkalan latihan kepada pemenang pingat perak Sukan SEA Kemboja 2023 itu.

    Beliau bagaimanapun berkata Bertrand terlebih dahulu perlu memastikan dirinya bebas daripada kecederaan pergelangan tangan, sebelum dihantar untuk ‘berkampung’ di luar negara bulan hadapan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda