Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    BGC lancar program 25 benih kesyukuran

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 FEB – Bagi menandakan sambutan Jubli Perak penubuhannya, Brunei Gas Carriers (BGC) telah melancarkan program 25 Benih Kesyukuran pada majlis yang berlangsung di McDonald’s Jerudong, hari ini.

    Hadir pada pelancaran berkenaan ialah Pengarah Urusan BGC, Kapten Abdul Mateen bin Abdurrahman Liew @Martin.

    Dalam ucapan pembukaannya, Kapten Abdul Mateen menekankan bahawa pelaburan sosial terus memainkan peranan utama dalam BGC, dan memberi kembali kepada masyarakat kekal sebagai matlamat berterusan untuk meningkatkan lagi komitmen BGC kepada negara.

    Dengan tema ‘25 Benih Kesyukuran’, program berkenaan akan menyaksikan satu siri acara yang didedikasikan untuk memperingati Jubli Perak BGC pada 9 Mac 2023.

    Ia adalah sebahagian daripada inisiatif pelaburan sosial BGC dan akan dikongsi dalam kalangan jabatan dan pelaut. Ia memberi tumpuan kepada aktiviti yang membina nilai, terutamanya dari segi menunjukkan komitmen terhadap pembangunan ekonomi dan sosial.

    Kapten Abdul Mateen semasa menyampaikan ucapannya.
    Antara kanak-kanak yang menyertai Aktiviti Seni dan Kraf bersama YASKA.

    Setiap jabatan di BGC akan menganjurkan pelbagai jenis aktiviti sepanjang tahun sebagai sebahagian daripada sumbangan mereka kepada 25 Benih Kesyukuran.

    Syarikat itu menekankan bahawa setiap aktiviti akan tertumpu pada mempromosikan tindakan tidak mementingkan diri sendiri melalui kerjasama dengan masyarakat yang lebih luas, dengan harapan dapat mencipta nilai untuk orang lain dan memupuk hubungan yang lebih erat antara satu sama lain.

    Melalui 25 Benih Kesyukuran, BGC menggariskan komitmennya untuk memupuk hubungan yang erat dengan masyarakat setempat khususnya dalam bidang pendidikan, kebajikan dan pembangunan sosial.

    Majlis pelancaran berkenaan disusuli dengan Aktiviti Seni dan Kraf bersama Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA) sebagai acara pertama 25 Benih Kesyukuran tersebut.

    Aktiviti yang merangkumi lukisan, kraf tangan dan mewarna itu disertai oleh 15 orang kanak-kanak. Turut menyertai acara ini ialah pasukan pengurusan BGC dan wakil dari YASKA.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...