Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Kementerian Kesihatan menerima sumbangan ujian PCR bagi jangkitan virus cacar monyet daripada Borneo Genomics Innovation Brunei Sdn Bhd (BGI Brunei) dalam majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung di Kementerian Kesihatan.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pengarah Makmal Molekular, Dr Haji Osmali bin Haji Osman iaitu wakil pihak BGI Brunei kepada Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.
Turut hadir ialah Pengarah Perkhidmatan Makmal, Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Surita binti Haji Mohd Taib.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, sumbangan merupakan dua kit Monkey Pox Virus Nucleic Acid Detection (Fluorescent PCR) berjenama BGI yang mempunyai kapasiti untuk 100 ujian.
Sumbangan itu bertujuan untuk melengkapkan Jabatan Perkhidmatan Makmal de-ngan ujian PCR yang membolehkan jabatan berkenaan membuat sebarang ujian yang disyaki jangkitan virus cacar monyet.
Ujian berkenaan menggunakan kaedah teknologi PCR dan hanya boleh dijalankan di makmal yang mempunyai kemudahan berkenaan seperti yang terdapat di Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan.
