Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    BIBD anjur Festival Eco-Alam

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) bermula hari ini menganjurkan Festival Eco-Alam, acara tiga hari yang meraikan kemampanan, mengetengahkan perniagaan tempatan dan mengesahkan komitmen bank tersebut untuk memelihara planet demi generasi akan datang.

    Hadir ke festival berkenaan yang diadakan di bangunan Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB), ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Pegawai Pemasaran BIBD dan Pengerusi Kumpulan Transformasi Kelestarian, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar mengongsikan bahawa festival itu bertujuan untuk menjadi gabungan pasaran, bengkel dan ruang pembelajaran, dengan sesi perbincangan dan ceramah mengenai keselamatan makanan, sains makanan, ekosistem makanan dan pengurusan sisa makanan.

    “Di Brunei Darussalam, sisa makanan mewakili bahagian terbesar sisa di tapak pelupusan sampah kita iaitu kira-kira 32 peratus menurut Sekretariat Perubahan Iklim Brunei.

    “Atas sebab itu, festival hari ini bertujuan untuk mempromosikan amalan mementingkan alam sekitar dan menyerlahkan cara menangani dan mengurangkan sisa,” ujarnya.

    Hajah Nurul Akmar semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya.
    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD semasa melawat salah satu vendor yang menyertai Festival Eco-Alam BIBD, kelmarin.

    Diadakan sebagai sebahagian daripada Kempen Negara Mampan, di bawah Siri SME360, festival itu adalah sebahagian daripada komitmen BIBD di bawah Rangka Kerja Kemampanan BIBD yang sejajar dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 serta Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN SDG).

    Ia juga menyokong agenda Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) untuk mengetengahkan pelbagai perniagaan kecil pimpinan belia yang memainkan peranan dalam agenda kemampanan negara.

    Festival berkenaan juga akan mengadakan beberapa siri perbincangan panel yang menampilkan penceramah terkemuka dari sektor kerajaan, perniagaan tempatan dan institusi pendidikan yang akan membincangkan isu-isu mengenai keselamatan makanan dan pengurusan sisa makanan dari perspektif holistik.

    Selain menyokong vendor tempatan, BIBD juga memberi keutamaan untuk meminimumkan kesan terhadap alam sekitar dengan menerima pakai pembayaran tanpa tunai, selain itu menekankan untuk menggunakan pembungkusan mesra alam berbanding keadah plastik dan menggalakkan pengunjung untuk membawa barang yang boleh digunakan semula, serta menghindari daripada pembaziran makanan semasa acara tersebut.

    BIBD bekerjasama rapat dengan syarikat tempatan seperti Biofield Brunei, Tebalik Plastik dan Shaliz Waste Recycling yang menawarkan penyelesaian kepada isu sisa makanan.

    Festival tersebut dianjurkan dengan kerjasama Big BWN Project dan diperakui oleh Jabatan Perdana Menteri, KKBS dan Kementerian Pembangunan dengan rakan kongsi acara Crop Culture, Tebalik Plastik, Shaliz Waste Recycling Sdn Bhd, Biofield Solutions, EnEvo dan Aloha Nature House Brunei.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...