Wednesday, February 5, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD lancar E-Duit Raya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk memenuhi Maqasid Syariah dan mencapai Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) akan membawakan sentuhan digital dan mesra alam semula jadi kepada amalan memberi dan menerima sampul hijau Hari Raya dengan melancarkan e-Duit Raya.

    BIBD dalam kenyataan yang dikeluarkan menjelaskan bahawa fungsi berkenaan, yang diintegrasikan ke dalam aplikasi BIBD NEXGEN Wallet, membolehkan pelanggan menghantar dan menerima dana secara digital dengan mengimbas kod QR atau memindah secara langsung kepada Virtual Mastercard (VMC).

    Dengan Sambutan Hari Raya terhad kepada keluarga terdekat dan sahabat rapat, pelanggan BIBD NEXGEN Wallet boleh memilih untuk menghantar duit raya kepada mana-mana penerima secara digital tanpa perlu memberi sampul hijau Raya.

    Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar dipetik berkata, “BIBD komited untuk mendukung Maqasid Syariah dan SDG PBB menerusi aktiviti-aktiviti perniagaan dan nilai-nilai kami.

    “Usaha-usaha kami dengan mempromosikan duit raya secara digital, serta menggunakan bahan-bahan kitar semula bagi sampul-sampul Hari Raya fizikal adalah berkaitan langsung dengan SDG 12 iaitu mempromosikan penggunaan dan pengeluaran mapan,” ujar beliau.

    Selaras dengan itu, tambah beliau, BIBD juga menyediakan tong-tong sampah kitar semula di cawangan-cawangan BIBD yang terpilih di mana para pelanggan boleh membawa sampul Hari Raya terpakai bagi kitar semula selepas musim perayaan.

    Kenyataan menyatakan, bagi mereka yang masih ingin memberi sampul raya fizikal, tahun ini bank berkenaan bekerjasama dengan artis tempatan terkenal untuk membawakan stail ikonik pada sampul hijau BIBD.

    Sebagai sebahagian daripada komitmen bank untuk mempromosikan kemapanan alam sekitar dan penyelesaian mesra alam, sampul raya tahun ini hanya dicetak dalam jumlah terhad dan dihasilkan daripada 100 peratus bahan kitar semula. Sampul bank berkenaan tahun ini direka oleh Rahim Jahit, juga lebih dikenali sebagai CuboiArt Cartoons.

    Para pelanggan boleh mengimbas kod QR pada belakang sampul Hari raya BIBD untuk menyaksikan video mengenai e-Duit Raya.

    Sampul Hari Raya BIBD yang direka oleh CuboiArt Cartoons. – Gambar serahan BIBD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda