Saturday, September 21, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD tanam 260 pokok sokong usaha hijau

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Sebanyak 260 pokok telah ditanam pada acara penanaman pokok anjuran Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) sebagai sebahagian komitmen berterusannya terhadap kelestarian alam sekitar, baru-baru ini.
     
    Menurut kenyataan BIBD, hari ini, acara itu diadakan bersama Green Brunei, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), dengan sokongan daripada Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.
     
    Penanaman pokok itu telah menyumbang kepada inisiatif 660 Roots to a Greener Future di bawah projek alam sekitar BIBD, Projek Alam Mampan. 
     
    Inisiatif itu selaras dengan Rangka Kerja Kelestarian BIBD, yang mencerminkan komitmen bank untuk menjadi warga korporat yang bertanggungjawab. 
     
    Rangka Kerja Kelestarian direka bentuk untuk menyepadukan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam teras operasi BIBD, di mana memastikan bahawa bank menyumbang secara positif kepada matlamat ekonomi, sosial dan alam sekitar jangka panjang Brunei.
     
    Seorang peserta menanam pokok sebagai sebahagian inisiatif hijau BIBD. – GAMBAR SERAHAN BIBD
    Antara peserta yang hadir pada acara penanaman pokok BIBD. – GAMBAR SERAHAN BIBD
    Projek Alam Mampan ialah salah satu inisiatif utama di bawah rangka kerja yang direka untuk menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 
     
    Projek 660 Roots to a Greener Future secara langsung menangani SDG 15: Kehidupan di Darat, memfokuskan pada melindungi dan memulihkan ekosistem daratan dan menggalakkan penggunaan sumber semula jadi yang mampan.
     
    Sebagai tambahan kepada inisiatif penanaman pokok, Projek Alam Mampan bersedia untuk mengembangkan usaha menangani ekosistem marin dan pantai selaras dengan SDG 14: Kehidupan Di Bawah Air.
     
    Inisiatif utama yang akan datang ialah Program Reef Ball BIBD, yang menawarkan peluang unik untuk komuniti terlibat dengan ekosistem marin dan menyumbang kepada penting usaha pemuliharaan habitat. 
     
    Selain Program Reef Ball, BIBD juga merancang projek pemulihan hutan bakau untuk menekankan dedikasi BIBD memulihkan dan memelihara kepelbagaian ekosistem Brunei, baik di darat mahupun di laut.
     
    Dilancarkan pada Mei dengan penanaman sulung 40 pokok di Taman Mahkota Jubli Emas, inisiatif itu menyasarkan untuk menanam 660 pokok di seluruh Brunei menjelang akhir tahun.
     
    Fasa seterusnya akan menyaksikan pokok-pokok ditanam di Daerah Tutong, Belait, dan Temburong.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda