Wednesday, May 1, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    BIBD tingkatkan sekuriti digital, lancar NEXGEN Wallet baharu

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah melancarkan siri kempen kesedaran komprehensif yang bermatlamat untuk mendidik para pelanggan mengenai kemas kini mandatori aplikasi BIBD NEXGEN Wallet yang bakal membawa peningkatan pengalaman pengguna serta sekuriti yang signifikan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, di sini, kempen-kempen itu merangkumi siri perisian video media sosial mengenai sekuriti siber dan jerayawara kesedaran serta klinik-klinik cawangan khusus bagi memastikan pemilik akaun merasa selesa dan diberikan maklumat bagi mengemudi ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan.

    BIBD mengutamakan keselamatan dan sekuriti maklumat kewangan semua pemegang akaun dan komitmen itu terus berada di hadapan semua usaha yang dilaksanakan yang dicerminkan menerusi kemas kini BIBD NEXGEN Wallet yang akan datang.

    Pengemaskinian itu akan dilaksanakan secara berfasa kepada pengguna Android dan iOS yang memperkenalkan ciri-ciri sekuriti mantap yang direka untuk meningkatkan perlindungan pemegang akaun daripada ancaman-ancaman siber.

    Dalam pengemaskinian aplikasi berkenaan, tiga ciri utama akan memberikan lapisan perlindungan tambahan kepada pemegang-pemegang akaun.

    Gambar Freepik

    Ciri pertama, device binding merupakan ciri inovatif yang menambatkan akaun NEXGEN pemegang akaun kepada peranti mudah alih yang berdaftar.

    Sebarang percubaan untuk masuk ke dalam akaun daripada peranti yang tidak dikenali, akan tidak dibenarkan, di mana ia akan mengurangkan risiko akses tanpa kebenaran secara signifikan.

    Ciri seterusnya ialah favourite maintenance iaitu fungsi mesra pengguna yang memperkasa pemegang akaun untuk mengurus senarai favourite, yang membolehkan pemindahan dana kepada akaun-akaun yang sering digunakan dengan cepat dan mudah.

    Dengan ciri itu, pemegang akaun dapat memastikan ketepatan maklumat akaun dan menetapkan nama samaran bagi memudahkan pengenalpastian. Ini akan mengurangkan kemungkinan kesilapan pemindahan, memastikan bahawa transaksi berkenaan pergi kepada pihak yang dihasratkan. Pemegang akaun juga boleh mengeluarkan favourite daripada senarai pada bila-bila masa menerusi aplikasi berkenaan.

    BIBD juga akan meningkatkan sekuriti dengan Two-Factor Authentication (2FA). Pengemaskinian itu memperkenalkan sistem One-Time Password (OTP) dua peringkat bagi sekuriti tambahan di mana SMS OTP diperlukan bagi mendaftar peranti baharu untuk ditambat, menambah lapisan sekuriti semasa proses pendaftaran.

    Setelah sebuah peranti itu ditambat, OTP dalam aplikasi yang selamat akan dikeluarkan bagi tindakan seperti pendaftaran favourite dan melaksanakan pemindahan akaun-ke-akaun.

    Pendekatan serampang dua mata (two-pronged) mengukuhkan pengesahan dan melindung daripada aktiviti-aktiviti tanpa kebenaran, menyediakan lapisan sekuriti tambahan bagi aktiviti-aktiviti perbankan.

    Satu siri perisian video akan dilancarkan di media sosial bermula esok yang bertujuan untuk mendidik orang ramai dan pemegang akaun mengenai amalan terbaik sekuriti siber dan menyediakan tip bagi melindungi maklumat dan akaun kewangan.

    Sebagai sebahagian daripada jerayawara kesedaran, BIBD akan melaksanakan klinik perkhidmatan pelanggan khusus yang dikendalikan oleh wakil-wakil perkhidmatan pelanggan yang akan menyediakan bantuan dan bimbingan untuk mengemudi aplikasi yang dikemaskinikan serta ciri-ciri sekuriti yang dipertingkatkan.

    Klinik-klinik perkhidmatan pelanggan akan diadakan serentak di cawangan-cawangan Manggis, Serusop, Kiulap, Tanjung Bunut, Tutong, Kuala Belait dan Temburong pada Mei.

    Pertanyaan dan pengemaskinian aplikasi BIBD NEXGEN di lokasi berkenaan akan memberikan peluang kepada pemegang akaun dan pengguna untuk menerima hadiah. Dengan memahami ciri-ciri berkenaan, pelanggan BIBD boleh mengambil peranan aktif dalam melindungi diri mereka daripada risiko kecurian siber yang pesat berubah, mengurus kewangan mereka dengan penuh yakin serta memupuk budaya kewaspadaan sekuriti digital.

    Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan BIBD untuk menangani kebimbangan orang ramai mengenai sekuriti aktiviti perbankan dalam talian mereka, di mana bank berkenaan mengambil maklum akan pentingnya perhubungan kerap dan pendidikan pengguna.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bangladesh catat suhu paling panas bulan April

    DHAKA, 1 MEI - Biro cuaca Bangladesh berkata hari ini bahawa bulan lalu merupakan bulan paling panas dalam rekod, dengan negara Asia Selatan dan...