Thursday, May 2, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Operasi Siaga catat pelbagai kesalahan

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Lapan kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan telah didapati dilakukan oleh majikan semasa Operasi Siaga 76/2024 yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh di gerai menjual nasi katok kawasan Kampung Salambigar, baru-baru ini.

    Menurut Jabatan Buruh, kesalahan-kesalahan yang didapati adalah dibawah Bab 39(1) iaitu gagal membayar gaji lebih masa, Bab 63 gagal memberikan cuti rehat, Bab 64 bekerja pada hari rehat, Bab 65 bekerja melebihi jam bekerja yang telah ditetapkan, Bab 70 gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan dan Bab 71 gagal memberikan cuti tahunan.

    Turut didapati adalah dua kesalahan di bawah Bab 112(2) iaitu melanggar syarat-syarat lesen pengambilan pekerja asing di mana pekerja asing berjawatan pembuat minuman didapati melakukan pekerjaan sebagai penjual nasi katok serta telah menempatkan pekerja di gerai berkenaan yang mana tempat tersebut tidak dibenarkan bagi pekerja-pekerja asing.

    Bagi kesalahan-kesalahan tersebut, jika didapati, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi tiap-tiap kesalahan.

    Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.

    Sehubungan itu, Jabatan Buruh mengingatkan majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti penyediaan kontrak perkhidmatan secara bertulis dan pembayaran gaji tepat pada waktunya.

    Para majikan juga dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta di bawah Perintah Pekerjaan 2009.

    Untuk maklumat lebih lanjut, orang ramai bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989 di luar waktu bekerja.

    Pegawai penguat kuasa menjalankan pemeriksaan semasa operasi itu. – GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bangladesh catat suhu paling panas bulan April

    DHAKA, 1 MEI - Biro cuaca Bangladesh berkata hari ini bahawa bulan lalu merupakan bulan paling panas dalam rekod, dengan negara Asia Selatan dan...