Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    BICTA 2024 buka tirai

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JAN – Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2024 membuka tirainya dengan majlis pelancaran yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    Anugerah BICTA 2024 juga merupakan Anugerah Penaung Diraja yang diadakan setiap dua tahun sekali, yang mana Trofi Penaung Diraja akan dianugerahkan kepada pemenang keseluruhan terbaik daripada kesemua kategori pertandingan BICTA.

    Dengan tema Negara Pintar Melalui Transformasi Digital, Anugerah BICTA 2024 akan mempertandingkan 10 kategori bagi penyertaan individu, pelajar, syarikat perniagaan, agensi kerajaan dan organisasi yang berminat.

    Kategori-kategori berkenaan adalah Kategori Utama iaitu Perkhidmatan Pengguna dan Perniagaan, Khidmat Kemasyarakatan dan Keikutsertaan, Perindustrian serta Awam dan Kerajaan; Kategori Sekolah iaitu Sekolah Rendah bagi penyertaan individu atau kumpulan penuntut Tahun 4 hingga 6, Sekolah Menengah bagi penyertaan individu atau kumpulan penuntut Tahun 7 hingga 11 dan Institusi Pengajian Tinggi bagi penyertaan individu atau kumpulan penuntut Tahun 12 hingga peringkat antarabangsa; serta Cross Categories iaitu Pemula, Penyelidikan dan Perkembangan serta Teknologi.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary hadir selaku tetamu kehormat. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara tetamu yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Tertakluk kepada kelayakan, mana-mana penyertaan dalam Kategori Utama kecuali Kategori Sekolah, dibolehkan juga bagi menyertai salah satu daripada Cross Categories yang bersesuaian dengan produk yang dipertandingkan.

    Selain itu, pertandingan kali ini juga mengetengahkan lima Anugerah Negara Pintar khusus bagi penyertaan yang tidak memenangi mana-mana kategori pertandingan, tetapi telah memenuhi ciri-ciri aspirasi Negara Pintar Melalui Transformasi Digital bagi meningkatkan kualiti hidup, perkhidmatan awam, pendidikan, keselamatan, mobiliti orang ramai dan untuk mencapai kelestarian alam sekitar dalam lima sektor tertentu iaitu pelancongan, pertanian, pembinaan, logistik dan pengangkutan serta pendidikan.

    BICTA yang diperkenalkan pada 2004 merupakan acara pertandingan ICT tahunan anjuran bersama oleh MTIC, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan InfoCom Brunei (IFB).

    Ia juga disokong Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pendidikan dan Darussalam Enterprise (DARe).

    Turut diserapkan ke dalam aktiviti BICTA 2024 adalah BICTA Plus Bootcamp iaitu program bimbingan dan latihan khusus bagi peserta-peserta BICTA bagi meningkatkan kemahiran dan keupayaan mereka sebagai persiapan diri sebelum pertandingan.

    Antara topik-topik yang diketengahkan merangkumi ideation and validation, perancangan perniagaan dan kewangan, strategi pemasaran, kemahiran pitching dan pembentangan serta design and thinking.

    BICTA merupakan komponen di bawah Anugerah Perikatan ICT Asia Pasifik (APICTA) di mana kualiti dan kategori yang dibukakan adalah selaras dengan piawaian APICTA.

    Penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam APICTA setakat ini telah meraih empat kemenangan dan 32 anugerah merit.

    Pemenang-pemenang BICTA 2024 akan mewakili negara ke pertandingan APICTA 2024 yang akan diadakan di Negara Brunei Darussalam pada penghujung tahun ini.

    Semua sekolah rendah, menengah serta institusi pengajian tinggi, individu, pengusaha-pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS), agensi kerajaan dan badan-badan organisasi yang mempunyai produk-produk ICT adalah dialu-alukan bagi menyertai BICTA 2024.

    Maklumat lanjut mengenai BICTA dan borang penyertaan boleh didapati di laman sesawang BICTA, www.bicta.gov.bn dengan tarikh akhir bagi penghantaran penyertaan adalah pada 30 Mei depan.

    Pihak-pihak yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Urus Setia BICTA melalui e-mel, bicta@aiti.gov.bn atau menghubungi talian 2323232.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...