Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Ekspo Pengajian Tinggi ke-9 bulan depan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JAN – Orang ramai khususnya para pelajar yang berminat untuk melanjutkan pengajian adalah dialu-alukan untuk berkunjung ke Ekspo Pengajian Tinggi ke-9 yang akan diadakan di Dewan 2, BRIDEX Jerudong pada 3 dan 4 Februari depan.

    Ekspo itu akan disertai oleh sebanyak 39 buah organisasi yang terdiri daripada 14 buah institusi pendidikan tinggi awam dan swasta dalam negara, sembilan buah institusi dari luar negara, dua dari kedutaan di Negara Brunei Darussalam serta 14 buah agensi kerajaan dan swasta.

    Di samping ekspo yang diadakan secara fizikal, Ekspo Pengajian Tinggi juga akan mengetengahkan sesi webinar secara dalam talian melalui platform YouTube di mana ia akan disampaikan oleh beberapa buah institusi pendidikan, yang akan diadakan pada 5 dan 6 Februari.

    Perkara itu diterangkan oleh Pemangku Penolong Pengarah dari Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Dayang Dina Roslina binti Haji Aliuddin selaku Timbalan Pengerusi Projek Ekspo Pengajian Tinggi 2024 dalam sidang media yang berlangsung di Dewan

    Persidangan 1, Kementerian Pendidikan, hari ini.

    Dayang Dina Roslina memberikan penerangan mengenai Ekspo Pengajian Tinggi ke-9 semasa sidang media yang berlangsung di Dewan Persidangan 1, Kementerian Pendidikan, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Antara yang hadir pada sidang media berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Beliau berkata lanjut bahawa ekspo itu bertujuan untuk menyediakan pusat informasi sehenti pengajian tinggi di mana institusi-institusi daripada pengajian pasca menengah, pengajian tinggi awam dan swasta serta agensi sektor pendidikan dalam negara untuk memberikan prospek pengajian pasca menengah dan pengajian tinggi yang terdapat di dalam negara serta juga antarabangsa.

    Ekspo itu akan memberikan peluang kepada orang ramai khususnya pelajar untuk bersemuka dengan pihak institusi-institusi pengajian tinggi serta agensi sektor pendidikan bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan.

    Beliau juga menyatakan, ia menyediakan landasan digital menerusi webinar bagi penjelasan pelbagai topik berkaitan peluang daripada proses bagi akses ke pasca menengah dan pengajian tinggi.

    Selain daripada maklumat yang dikongsi oleh institusi-instusi pengajian tinggi, semasa ekspo itu juga, Kementerian Pendidikan akan mengongsikan maklumat terkini seperti Sistem Pusat Kemasukan ke Pengajian Tinggi (HECAS), biasiswa-biasiswa kerajaan, permohonan bagi mendapatkan pengiktirafan kursus atau kelulusan.

    Dayang Dina Roslina menyatakan bahawa antara jabatan-jabatan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan yang menyertai ekspo berkenaan ialah Jabatan Pengajian Tinggi, Jabatan Pengurusan Biasiswa, Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan, Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat, Unit Kaunseling dan Unit Pendidikan Kerjaya dari Jabatan Sekolah-Sekolah serta Jabatan Pengurusan Pendidik.

    Ekspo turut menyaksikan penyertaan daripada kedutaan dan agensi kerajaan iaitu Kedutaan Jepun, Kedutaan Amerika Syarikat serta Sekretariat Tetap Manpower Planning and Employment Council (MPEC), Jabatan Perdana Menteri.

    Selain itu, agensi-agensi swasta termasuk Syarikat Minyak Brunei Shell, Bank Islam Brunei Darus-salam, Kumpulan Syarikat-syarikat Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei, Royal Brunei Airlines Sdn Bhd, CfBT Educational Services, MEG Educational Services Findlay (B) Sdn Bhd dan HRDS Educational Services juga menyertai ekspo berkenaan.

    Dayang Dina Roslina seterusnya mengalu-alukan orang ramai khususnya pelajar lepasan menengah dan pra universiti atau yang berkelulusan sebanding dengannya yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi supaya berkunjung ke ekspo itu.

    Beliau juga mengalu-alukan mereka yang ingin menggembangkan kemahiran secara meningkatkan kemahiran yang sedia ada dan mereka yang mempelajari kemahiran baharu yang lain berkunjung ke ekspo di mana institusi-institusi yang menyertai ekspo akan mengongsi maklumat mengenai program seperti National Technical Education Certificate (NTec), Higher National Technical Education Certificate (HNTec), Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan program Ijazah Kedoktoran.

    Mereka juga akan dapat mengetahui tatacara permohonan ke institusi pengajian tinggi, mendapatkan bimbingan daripada pakar pengajian tinggi, berpeluang untuk berinteraksi secara bersemuka dengan wakil pendidikan tinggi serta mendapatkan maklumat tentang peluang biasiswa.

    Ekspo dua hari itu akan menyediakan kemudahan letak kereta dan perkhidmatan bas ulang-alik di letak kereta Jerudong Park Amphitheatre. Papan-papan tanda akan disediakan bagi menunjukkan tempat letak kereta dan perkhidmatan bas ulang-alik.

    Orang ramai boleh mendapatkan peta kedudukan lokasi perkhidmatan berkenaan di laman sesawang Kementerian Pendidikan, https://moe.gov.bn dan Jabatan Pengajian Tinggi, https://hiedbrunei.moe.gov.bn.

    Bagi yang berhasrat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ekspo tersebut boleh melayari laman-laman sesawang berkenaan dan melalui akaun Instagram @moe_brunei dan @hiedbrunei.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...