Tuesday, November 26, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Biden, Trump pastikan peralihan kuasa yang aman

    WASHINGTON, 14 NOV – Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan Presiden terpilih Donald Trump bertemu di Rumah Putih kelmarin untuk berbincang mengenai proses peralihan kuasa.

    “Tahniah. Seperti yang dikatakan, kami akan memastikan peralihan berjalan lancar dan menyediakan segala yang diperlukan.

    “Selamat datang, selamat kembali,” kata Biden kepada Trump di Pejabat Oval.

    Trump, yang memenangi penggal kedua dalam pilihan raya Presiden minggu lalu mengucapkan terima kasih kepada Biden dan mengakui dunia politik adalah ‘sukar.’

    “Dan dalam banyak keadaan, ia bukan arena yang baik, tetapi hari ini ia sangat baik dan saya sangat menghargainya. Peralihan ini akan berlangsung dengan lancar dan saya sangat berterima kasih,” katanya.

    Wanita pertama, Jill Biden turut menyertai Biden mengalu-alukan kehadiran Trump, menurut kenyataan Rumah Putih. Wanita pertama itu menyerahkan surat ucapan tahniah untuk isteri Trump, Melania dan menyatakan kesediaan pasukannya untuk membantu dalam peralihan kuasa, menurut kenyataan itu.

    Parti Republikan meraih majoriti dalam pilihan raya lalu, sekali gus menguasai Dewan Perwakilan, Senat dan Rumah Putih.

    Trump memenangi pilihan raya dengan memperoleh 312 undi Badan Perwakilan Pemilih, melepasi ambang 270 undi yang diperlukan mengalahkan pencabarnya dari Parti Demokrat, Kamala Harris.

    Jurucakap Rumah Putih Karine Jean-Pierre memaklumkan kepada wartawan bahawa Biden dan Trump mengadakan pertemuan selama kira-kira dua jam.

    Biden turut menekankan ‘perkara penting’ yang perlu diselesaikan oleh Kongres dalam sesi akhir penggal, termasuk pembiayaan kerajaan dan dana bantuan bencana yang diminta presiden.

    “Kami akan memastikan peralihan kuasa yang teratur dan aman,” katanya. – Bernama 

    Joe Biden (kiri) dan Donald Trump semasa menghadiri mesyuarat dewan bandaran di Pusat Kewangan Dort di Flint, Michigan pada 17 September. Mereka akan pastikan peralihan kuasa yang lancar. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda