Bekas isteri penyanyi Indonesia, Virgoun iaitu Inara Rusli akhirnya menepati janji membawa anak-anak berbuka puasa dengan bekas suaminya itu.
Memetik laporan mStar, Inara atau Inara Idola Rusli, 32, berkata, dia mengharapkan pada bulan Ramadan ini segala amalan yang dibuat diterima Allah SWT, terutamanya dalam mendidik anak-anak mereka.
“Pada bulan suci Ramadan ini, semoga Allah terima segala amal baik dan reda dengan cara kita mendidik amanah yang diberikan iaitu anak-anak,” katanya.
Inara berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Dalam perkongsian tersebut, Inara turut berkongsi foto bersama bekas suami dan anak-anak ketika meluangkan masa sewaktu berbuka puasa di sebuah restoran.
Pun begitu menerusi ruangan komen, seorang warga siber meninggalkan persoalan bertanya siapakah yang membayar makanan mereka.
Tidak melenting dengan soalan ditanya, Inara memberitahu Virgoun seorang bapa bertanggungjawab yang akan menguruskan semua perihal anak-anak mereka.
“Alhamdulillah, untuk urusan anak-anak daddy (panggilan Virgoun) mereka bertanggungjawab, yang pasti bil makanan tidak dibayar asing ya,” ujarnya. – Agensi
