Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Lebih 30 orang ahli profesional daripada sektor kerajaan dan swasta telah menghadiri Forum Penasihat Syariah (SAF) yang berlangsung di Bangunan ILIA, Universiti Brunei Darussalam (UBD) pada 23 Ogos lalu.
Forum anjuran oleh Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF) yang membawa tema ‘Penetapan Harga Produk Kewangan Islam: Pertimbangan Syariah’ itu bertujuan untuk menjadi platform bagi membincangkan isu-isu utama dan cabaran-cabaran berkaitan penetapan harga produk kewangan Islam yang sering dibincangkan oleh lembaga penasihat syariah institusi-institusi kewangan.
Penolong Pengarah Urusan, Operasi Monetari/Perkembangan dan Antarabangsa, Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Awang Mardini bin Haji Eddie, selaku pemangku ketua pegawai eksekutif BILIF, dalam kata alu-aluannya menzahirkan harapan supaya para peserta akan dapat memperoleh pengetahuan yang relevan daripada perbincangan
yang diadakan untuk menangani landskap kewangan Islam, seiring dengan piawaian antarabangsa.
Forum SAF seterusnya menampilkan masterclass yang berkaitan dengan tema forum dan dikendalikan oleh ahli Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta juga Profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Engku Rabiah Adawiah binti Engku Ali.
Ia turut mengandungi sesi panel perbincangan yang disertai oleh Profesor Engku
Rabiah Adawiah; ahli Majlis Penasihat Syariah di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Malaysia, Pengasas dan Pengarah Urusan, Kumpulan Syarikat Elzar Group dan Profesor Adjung, Universiti Selangor (UNISEL), Dr Zaharuddin A Rahman; ahli Majlis Penasihat Syarikat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Dr Shamsiah Mohamad serta Presiden, International Islamic Finance and Insurance (IIFIN), Azman Ismail.
Panel berkenaan dikendalikan oleh Associate Kewangan Syariah BDCB, Awang Muhammad Zul Hamzi Faiz bin Haji Mohd Zali.
Antara topik perbincangan yang diketengahkan termasuk mekanisme penetapan harga produk kewangan Islam, isu-isu penandaan aras dan inisiatif-inisiatif untuk mencipta Islamic Pricing Benchmark (IPB).
