Wednesday, February 5, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang status inisiatif bidang keutamaan JPM

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Permuzakarahan bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) memainkan peranan penting yang merupakan wadah bagi perbincangan konstruktif.

    Di samping itu, ia juga sebagai pemangkin yang dapat memberikan dukungan kepada misi Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam menerajui pembentukan, penyelarasan dan pelaksanaan dasar dan keutamaan kerajaan dengan penglibatan dan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan termasuk masyarakat umum selaras dengan pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh negara.

    Penekanan itu dibuat oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dalam ucapan alu-aluannya semasa Sesi Muzakarah JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama ahli-ahli MMN bagi tahun 2024, yang berlangsung di Bilik Mesyuarat West Wing, Bangunan JPM, hari ini.

    Hadir sama ialah Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah serta seramai 19 orang ahli MMN yang diketuai oleh Yang Berhormat Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin.

    Turut hadir pada sesi berkenaan ialah Yang Berhormat Peguam Negara, timbalan-timbalan menteri, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan serta para pegawai kanan di JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menyampaikan ucapan pada permuzakarahan berkenaan. Turut hadir, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Dalam ucapan alu-aluannya lagi, Yang Berhormat Pehin mengimbas kembali Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-19 MMN pada 2023 di mana beliau menyatakan bahawa perkara-perkara yang telah dibangkitkan meliputi isu-isu berkaitan Wawasan Brunei 2035, pentadbiran awam, peluang-peluang pekerjaan dan pengambilan tenaga kerja serta hal ehwal strategi bidang tenaga.

    Ke arah itu, Yang Berhormat Pehin seterusnya menerangkan status terkini bagi inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan dan perancangan ke hadapan berkaitan keutamaan dan bidang fokus JPM iaitu antaranya pencapaian Wawasan Brunei 2035 yang sentiasa dipantau khasnya menerusi Kerangka Kerja Wawasan 2035 yang disejajarkan dengan ketiga-tiga blueprint berkaitan dan usaha-usaha menerusi pelan tindakan yang dibentuk dalam memastikan pencapaian matlamat pembangunan mampan (SDG).

    Seterusnya, Yang Berhormat Pehin menyentuh mengenai inisiatif-inisiatif pembaharuan dan penambahbaikan berkaitan dengan dasar dan peraturan dalam perkhidmatan awam, termasuk hal ehwal sumber tenaga manusia serta usaha-usaha meningkatkan
    keberkesanan penyampaian perkhidmatan dan isu-isu pengangguran dan pengambilan tenaga kerja di sektor swasta khasnya anak-anak tempatan termasuk perancangan bagi memperluaskan peluang pekerjaan kepada golongan-golongan tertentu.

    Menyentuh mengenai perkembangan dalam sektor tenaga pula, Yang Berhormat Pehin telah berkesempatan untuk mengongsi perkembangan inisiatif-inisiatif ke arah menjamin bekalan sumber tenaga melalui peningkatan liputan ke Mukim Sukang dan Melilas, Daerah Belait, selain memastikan sumber minyak dan gas adalah mencukupi dan berterusan bagi tujuan bekalan tenaga elektrik, produk petroleum dan juga tong LPG.

    Selain itu, inisiatif-inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan pertumbuhan mampan sektor tenaga khasnya berhubung pembangunan sumber-sumber di lautan dalam dan aktiviti-aktiviti kemajuan dan eksplorasi serta usaha-usaha untuk memperkembangkan sektor hiliran minyak dan gas di negara ini juga turut dikongsikan.

    Yang Berhormat Pehin turut menyatakan bahawa beberapa usaha telah pun giat dilaksanakan bagi memaksimumkan peluang-peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan melalui Arahan Bruneianisation serta peluang perniagaan dan perusahaan tempatan melalui Arahan Local Business Development.

    Bagi mendukung aspirasi negara untuk menuju ke arah sifar bersih, keutamaan adalah diberikan oleh JPM bagi menguruskan pelepasan gas rumah hijau di sektor tenaga termasuk sektor huluan dan hiliran minyak dan gas serta sistem bekalan tenaga.

    Sesi diteruskan dengan ucapan balas daripada Yang Berhormat Haji Salleh Bostaman dan disusuli dengan sesi dialog antara ahli MMN dan pihak JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda