Monday, January 27, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang usaha tingkatkan kolaborasi pelancongan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Negara-negara anggota ASEAN mengalu-alukan penarikan balik sekatan perjalanan di negara anggotanya selepas dibelenggu sekatan akibat pandemik COVID.

    Berdasarkan perangkaan awal, ASEAN telah menyaksikan kira-kira 1,700 peratus peningkatan tahun-ke-tahun dalam pendapatan pelancongan dan mencatatkan kira-kira 1,300 peratus peningkatan tahun-ke-tahun ketibaan antarabangsa dengan pengurangan sekatan perjalanan negara-negara anggotanya.

    Perkara itu ditekankan pada Mesyuarat Menteri-menteri Pelancongan ASEAN (M-ATM) ke-26 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan dengan Plus Three ke-22, India ke-10 serta Persekutuan Rusia ke-2 bersempena Forum Pelancongan ASEAN 2023 yang berlangsung di Yogyakarta, Republik Indonesia baru-baru ini.

    Bertemakan ASEAN: A Journey to Wonderful Destinations, mesyuarat telah dipengerusikan oleh Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Sandiaga Salahuddin Uno dan Naib Pengerusi iaitu Menteri Maklumat, Budaya dan Pelancongan, Laos, Puan Yang Terutama Suanesavanh Vignaket pada 4 Februari lalu.

    Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, di sini, delegasi Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat itu telah diketuai oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan semasa menghadiri M-ATM ke-26 di Republik Indonesia baru-baru ini. – Gambar serahan Jabatan Kemajuan Pelancongan
    Delegasi Brunei semasa di M-ATM ke-26 yang berlangsung di Yogyakarta, Republik Indonesia baru-baru ini.

    Turut menghadiri mesyuarat itu ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab dan pegawai-pegawai dari Jabatan Kemajuan Pelancongan.

    Sebelum M-ATM ke-26, satu Mesyuarat Organisasi Pelancongan Kebangsaan ASEAN ke-57 dan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan dengan Rakan-rakan Dialog telah diadakan.

    Ketika M-ATM ke-26, menteri-menteri turut mendengarkan bahawa negara-negara anggotanya telah mencatatkan kadar-kadar penginapan hotel juga telah meningkat 16 peratus berbanding tahun 2021 selain mengambil maklum bahawa 60 peratus aktiviti dan langkah-langlah di bawah Rancangan Pemulihan Pasca COVID-19 bagi Pelancongan ASEAN telah atau sedang dilaksanakan menerusi Pelan Kerja Rancangan Strategik Pelancongan ASEAN (ATSP).

    Ia juga mengetengahkan inisiatif untuk mempromosikan destinasi baharu dan kurang diterokai di dalam rantau ini dan memastikan destinasi-destinasi ASEAN itu diperkenalkan dan diterokai.

    Para menteri bersidang turut mengambil maklum akan dapatan positif daripada aktiviti-aktiviti pemasaran menerusi penggunaan jenama baharu dan slogan, A Destination for Every Dream serta penekanan kepada keperluan untuk meningkatkan kolaborasi dengan rakan-rakan kongsi relevan untuk menggandakan usaha yang sedang dilaksanakan.

    Mesyuarat juga mengambill maklum pelaksanaan dua kajian yang telah disokong oleh Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA) iaitu Comprehensive Study on the Implementation of MRA-TP: Enhanced Mechanism for Tourism Professionals dan menggalakkan penyemakan semula cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam kajian berkenaan.

    Sementara itu, kajian bertajuk, Study to Develop a Framework on Sustainable Tourism Development in ASEAN in the Post COVID-19 Era yang menjadi panduan kepada sektor pelancongan ke arah laluan pelancongan yang lebih mampan juga telah siap dilaksanakan.

    Ia juga menggalakkan peningkatan usaha serantau dalam memulihkan dan membina keyakinan bagi penyambungan semula perjalanan serta juga mempromosikan pelancongan ASEAN yang lebih mampan dan inklusif.

    Selain itu, usaha mempercepatkan latihan kemahiran digital pelancongan bagi seluruh rantau dengan kerjasama program-program ASEAN yang dilaksanakan serta juga sektor swasta turut disentuh.

    Ia juga membincangkan peranan penting teknologi untuk mengenal pasti kemahiran relevan bagi menyokong usaha kemapanan dalam destinasi pelancongan serta juga kedayatahanan jangka panjang sektor pelancongan ASEAN yang berkaitan rapat dengan kemapanan sosial dan alam sekitar.

    Manakala itu, dalam pelancongan ASEAN-Plus Three, mesyuarat mengambil maklum akan langkah-langkah berterusan yang dilaksanakan oleh negara-negara Plus Three untuk merangsang sektor pelancongan dengan menumpukan usaha mereka kepada menerokai kaedah menjana kerjasama yang lebih erat dengan pihak-pihak yang berkepentingan dalam sektor swasta.

    Ia juga melahirkan penghargaan atas sumbangan aktif mereka dalam melaksanakan Pelan Kerja Kerjasama Pelancongan ASEAN Plus Three 2021-2025 yang menggalakkan penumpuan kepada pembangunan kapasiti, pelancongan mampan, transformasi digital, pemasaran pelancongan, mengukuhkan peranan perusahaan mikro, kecil, sederhana (PMKS) pada 2023 serta mengenal pasti inisiatif-inisiatif baharu untuk dilaksanakan bagi menyokong Pelan Strategik Pelancongan ASEAN 2016-2025 dan Pelan Pemulihan Pasca COVID-19 bagi Pelancongan ASEAN.

    Semasa mesyuarat pelancongan ASEAN-India, menteri-menteri yang bersidang menekankan perlunya untuk terus menyokong pelancongan, perusahaan PMKS bagi mempromosikan peluang yang saksama untuk meningkatkan pekerjaan bagi komuniti tempatan serta menyokong aktiviti di bawah ASEAN Promotional Chapter for Tourism (APCT) India untuk meningkatkan kesedaran mengenai destinasi-destinasi ASEAN dalam pasaran India.

    Mesyuarat turut menyokong Pelan Kerja Pelancongan ASEAN-India 2023-2027 yang mengesahkan semula komitmen untuk meningkatkan usaha kerjasama dalam kalangan orang ramai, swasta, negara dan rakan serantau untuk mempercepatkan pemulihan pelancongan di ASEAN dan India.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda