Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Walaupun bulan Syawal semakin menghampiri penghujungnya, namun kemeriahannya masih dirasakan di rumah-rumah kediaman mahupun di tempat-tempat kerja atau persatuan-persatuan di negara ini.
Sehubungan itu, Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkurong B melalui inisiatif jawatankuasa tertinggi berserta ahli-ahlinya juga tidak ketinggalan mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di sebuah hotel di Jerudong, petang ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin dan isteri.
Turut hadir ialah Pemangku Ketua Kampung Sengkurong B, dan Penasihat Biro Wanita MPK Sengkurong B, Awang Abdul Razak bin Haji Ismail dan isteri; Pengerusi Biro Wanita MPK Sengkurong B, Hajah Rukiah binti Haji Mohammad Yassin dan Timbalan Pengerusi Biro Wanita MPK Sengkurong B, Hajah Azizah binti Haji Mirasan.
Secara keseluruhannya, lebih 50 ahli Biro Wanita MPK Sengkurong B dan keluarga masing-masing hadir bagi memeriahkan suasana majlis tersebut yang dihasratkan untuk terus mengeratkan dan mengukuhkan lagi hubungan silaturahim dan ukhuwah.
Acara dimulakan dengan bacaan Selawat Ibrahimiyyah dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Kamaruzaman bin Haji Jakar dan diikuti ucapan alu-aluan daripada Awang Abdul Razak.