Wednesday, January 8, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Blinken sertai rundingan Eropah bahas isu Syria

    ROM, 6 JAN – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, akan bertemu rakan sejawatannya dari Eropah di Rom pada Khamis bagi membincangkan isu Syria, ketika kuasa Barat berusaha mendekati kepimpinan baharu negara itu yang kini diterajui kumpulan Islamis.

    Menurut kenyataan Jabatan Negara AS semasa Blinken berada di Seoul hari ini, pertemuan itu bertujuan “menyokong peralihan politik yang aman, inklusif, serta dipimpin dan dimiliki oleh rakyat Syria.”

    Bagaimanapun, Jabatan Negara tidak memberikan butiran lanjut mengenai peserta mesyuarat tersebut.

    Blinken, yang turut dijadualkan melawat Jepun dan Perancis, akan menyertai Presiden Joe Biden dalam lawatan ke Rom, termasuk pertemuan dengan Pope Francis.

    Bulan lalu, tentera pimpinan Islamis berjaya menggulingkan Presiden Bashar al-Assad melalui serangan kilat selepas 13 tahun peperangan yang dahsyat.

    Sejak itu, kuasa Barat berharap dengan berhati-hati agar kestabilan dapat dicapai di Syria selepas perang yang berlarutan selama sedekad mencetuskan krisis pelarian yang memberi kesan besar kepada politik Eropah.

    Menteri Luar Perancis dan Jerman melawat Syria pada Jumaat lalu, namun lawatan itu dicemari kontroversi apabila pemimpin baharu Syria, Ahmed al-Sharaa, hanya berjabat tangan dengan Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, seorang lelaki, dan tidak dengan Annalena Baerbock dari Jerman, seorang wanita.

    Diplomat kanan AS, Barbara Leaf, telah bertemu Sharaa bulan lalu dan mengesahkan bahawa AS telah menarik balik ganjaran yang pernah ditawarkan ke atas dirinya. – AFP

    Blinken disambut oleh beberapa wakil kerajaan Korea Selatan sebelum menaiki pesawat di Pangkalan Udara Osan, Pyeongtaek, pada 6 Januari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda