Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 DIS – Satu objek misteri bersinar seperti bola api melintasi langit malam semalam telah dikesan oleh beberapa individu yang menyaksikannya secara langsung di beberapa buah tempat.
Insiden luar biasa itu turut terakam oleh beberapa alat teknologi canggih seperti kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman dan kamera dashcam yang kemudian dikongsikan orang ramai kepada Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD).
Menurut PABD, para pemerhati melaporkan objek yang berkemungkinan meteor itu dapat disaksikan dari Daerah Brunei Muara dan sejauh Daerah Tutong.
Salah seorang saksi bertuah, Awang Alhakim, 31 yang melihat objek bersinar biru kehijauan (gambar) turut mengongsikan rakaman daripada dashcamnya yang menunjukkan bola api terang ketika beliau memandu di sepanjang Jalan Kebangsaan menghala ke lebuh raya Jalan Utama Mentiri kira-kira jam 7:40 malam.
“Semalam, secara tiba-tiba muncul sesuatu dari langit, dan (ia) meluncur laju dari atas bersama cahaya hijau terang,” jelas Awang Alhakim.
Rakaman kamera dari kenderaannya yang berdurasi 5 saat itu memperlihatkan objek berwarna terang yang melintasi condong dari barat ke timur dan menghilang di udara.
Peristiwa sama turut dirakam menerusi CCTV milik salah seorang ahli anggota PABD di kediamannya di Kampung Kiarong yang menunjukkan objek itu bersinar ketika melintasi ruang udara Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.
Sebilangan warganet dalam media sosial memberi komen yang menyangka bola api tersebut sebagai komet.
Namun, orbit komet di angkasa akan melihatkan nukleus kabur serta ekornya dan berada di langit untuk beberapa jam.
Sebaliknya meteor, tahi bintang atau shooting star pula ialah sinaran cahaya singkat akibat serpihan habuk dari angkasa yang menuju ke atmosfera bumi pada kelajuan tinggi, dan yang lebih besar akan memaparkan bola api.
Dalam pada itu, orang ramai yang ternampak objek seumpamanya boleh melaporkannya kepada Pertubuhan Meteor Antarabangsa (IMO) untuk penyelidikan meteor melalui borang dalam talian https://www.imo.net/observations/fireballs/fireball-report-program/.