Thursday, December 5, 2024
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Boleh ke cuci enjin?

    Bagi mereka yang ‘kaki kereta’, pasti ramai yang berniat nak ‘membelai’ kereta masing-masing. Ada tak kalangan pembaca yang dah habis buat detailing bahagian luar kereta, sekarang terfikir nak bersihkan pula di ruang enjin dengan membasuh bahagian tersebut?

    Persoalannya, boleh ke kita buat perkara berkenaan, adakah ia akan merosakkan komponen-komponen tertentu di ruang enjin tersebut?

    Jadi untuk menjawab persoalan ini, jenama automotif Malaysia, Proton memberikan beberapa penjelasan am yang awda boleh gunakan sebagai panduan dari laman blog Paultan.

    Menurut Proton, ya, awda boleh basuh ruang enjin menggunakan hos dan pancuran air, tetapi beberapa perkara perlu diambil kira bagi mengelakkan sebarang masalah atau kerosakan.

    Pertama sekali, awda kena pastikan bahawa ruang enjin tersebut sudah cukup sejuk untuk disentuh sebelum mula membasuh enjin. Itu kerana ada sebahagian logam, contohnya blok dan kepala enjin, sebenarnya akan mengembang ketika ia beroperasi dalam suhu bekerja.

    Ruang enjin kereta boleh dibasuh menggunakan hos dan pancuran air. – Envato
    Gambar Freepik
    Gambar Freepik
    Gambar Envato
    Gambar Envato

    Selepas enjin dimatikan, komponen berkenaan akan mengecut kembali secara beransur-ansur selari dengan penurunan suhu.

    Sekiranya dari panas awda terus lalukan air padanya, penurunan suhu akan berlaku secara mendadak.

    Kesannya, ada kemungkinan ia akan retak atau berubah bentuk. Untuk mudah faham, cuba awda masukkan air panas ke dalam gelas kaca dan kemudian terus letak ke dalam peti sejuk – besar kemungkinan gelas berkenaan boleh pecah kerana perubahan molekul yang mendadak.

    Kemudian, awda jangan gunakan pancuran air dengan tekanan seperti washer jet. Itu kerana pancutan air bertekanan tinggi boleh menyebabkan kerosakan pada gasket-gasket pengedap, soket-soket juga penutup-penutup plastik yang melindungi komponen elektrik dan elektronik di dalamnya.

    Sekiranya gasket-gasket dan penutup-penutup tersebut rosak sudah tentu tugas untuk melindungi bahan asing seperti air, pasir, habuk dan sebagainya untuk masuk ke dalam komponen tersebut akan gagal dan menyebabkan kerosakan mekanikal dan elektrik.

    Walau bagaimanapun, awda masih boleh menggunakan washer jet berkenaan untuk menghilangkan kotoran pada bahagian-bahagian casis dan panel-panel logam seperti pada bahagian firewall.

    Juga awda perlu pastikan tekanan air yang digunakan tidak melebihi 70 bar, semburan berkenaan dibuat dengan jarak sekitar 40cm dan sekali ‘tembak’ jangan melebihi 30 saat.

    Jika panduan itu tidak diikuti, awda mungkin akan merosakkan cat pada bahagian berkenaan.

    Bagi menghilangkan kotoran minyak atau gris pula, awda disarankan untuk menggunakan berus untuk membersihkan bahagian berkenaan.

    Namun sekali lagi, awda perlu berhati-hati untuk tidak memberus terlalu kuat pada bahagian-bahagian plastik kecil seperti soket elektrik dan sebagainya bagi mengelakkan ia patah.

    Setelah siap diberus, bilas dengan menggunakan hos air biasa.

    Sebagai perlindungan tambahan, Proton turut mengesyorkan awda untuk memberikan perlindungan tambahan pada bahagian-bahagian elektrik dan elektronik dengan bahan kedap air seperti plastik dan sebagainya.

    Bahagian-bahagian yang perlu diambil perhatian termasuk pada terminal bateri, kotak fius dan juga alternator.

    Awda juga perlu pastikan laluan dari kotak udara (perumah penapis udara) hingga ke manifold kemasukan dilindungi daripada dimasuki air.

    Oleh itu, pastikan bahagian itu juga betul-betul kedap air ketika membasuh ruang enjin.

    Selain dari menggunakan air, awda juga sebenarnya boleh membersihkan ruang enjin itu dengan cara lebih selamat menggunakan produk-produk pembersih yang dikhaskan untuk kegunaan ruang yang agak sensitif berkenaan.

    Jika dahulu produk-produk sebegini hanya dijual pada kedai-kedai hardware tertentu, sekarang dengan platform beli-belah atas talian, ianya boleh dicari dengan lebih mudah dan ia akan terus dihantar ke pintu rumah. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda