Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Boris Johnson akui kesilapan kendali COVID-19

    LONDON, 6 DIS – Bekas Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mempertahankan pengendaliannya terhadap COVID-19 hari ini semasa siasatan awam mengenai wabak itu, dengan menyatakan bahawa kerajaan ‘melakukan beberapa kesilapan’ tetapi telah berusaha yang terbaik.
     
    Johnson memulakan dua hari prosiding di mana beliau akan ditanya di bawah sumpah oleh peguam bagi siasatan yang diketuai oleh hakim mengenai keengganan awalnya pada 2020 untuk mengenakan sekatan pergerakan negara dan keputusan penting lain.
     
    Beliau membuka keterangannya dengan memohon maaf ‘atas kesakitan, kehilangan dan penderitaan mangsa COVID,’ walaupun tidak memohon maaf atas tindakannya sendiri. Empat individu berdiri di mahkamah semasa beliau berucap, memegang tanda yang tertulis ‘Yang Mati tidak dapat mendengar permohonan maaf awda,’ sebelum diiringi keluar oleh kakitangan keselamatan.
     
    “Dalam cubaan menangani pandemik yang sangat mencabar di mana kami terpaksa mengimbangi kemudaratan yang sangat buruk bagi kedua-dua keputusan, mungkin ada kesilapan yang dilakukan,” kata Johnson.
     
    “Tentunya, kami membuat beberapa kesilapan. Saya rasa kami melakukan yang terbaik pada masa itu,” tambahnya.
     
    Johnson tiba di tempat siasatan pada waktu subuh, beberapa jam sebelum dia dijadualkan memberikan keterangan, menghindari sebarang bantahan oleh keluarga mangsa.
     
    Antara mereka yang ingin mendapatkan jawapan daripada siasatan itu adalah beberapa keluarga daripada lebih 230,000 orang di United Kingdom yang meninggal dunia selepas dijangkiti virus itu. Kumpulan itu berkumpul di luar bangunan pejabat tempat siasatan diadakan, sebhagiannya memegang gambar orang yang tersayang. Satu sepanduk menyatakan, ‘Biarkan mayat bertimbun’ – kenyataan yang dikaitkan dengan Johnson oleh seorang pembantu. – AP
     
    Fail foto daripada strim langsung Siasatan COVID19 UK menunjukkan Boris Johnson memberikan keterangan di Dorland House di London, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...