ATHENS, 15 DIS – Lima pendatang maut kelmarin apabila bot mereka karam di perairan Crete, kata pengawal pantai Greece, meninggalkan 40 orang dilaporkan hilang manakala 39 lainnya yang kesemuanya terdiri daripada lelaki berjaya diselamatkan.
Bot itu karam 12 batu nautika dari barat daya pulau itu, menurut ERTNEWS.
Operasi menyelamat secara besar-besaran melibatkan kapal dan pesawat sedang dijalankan di laut berhampiran pulau Gavdos, selatan Crete, selepas bot itu terbalik sejurus selepas tengah malam, kata pengawal pantai.
Mayat pertama telah ditemui kelmarin.
Menurut agensi berita Athens, seorang pendatang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di hospital Chania dalam keadaan serius manakala tiga orang turut dimasukkan ke hospital itu akibat masalah jantung dan hipotermia.
Pengawal pantai kelmarin berkata kepada AFP, bilangan pendatang yang ditemui maut telah meningkat kepada lima orang.
Dalam dua insiden berasingan di Gavdos juga kelmarin, 88 orang pendatang telah ditemui dan diselamatkan oleh kapal tangki yang mengibarkan bendera Great Britain kira-kira 28 batu nautika ke selatan; dan 47 orang dengan kapal kargo yang mengibarkan bendera Malta, 40 batu nautika di selatan pulau. – AFP