Oleh Nurdiyanah R. –
Pengenalan Digital Diabetes Therapeutics (DMDTx) di negara ini merupakan satu langkah besar ke hadapan yang membolehkan orang ramai menguruskan diabetes dengan berkesan menggunakan teknologi canggih yang mudah diakses.
Platform digital seperti ini adalah sesuatu yang sedang diusahakan oleh banyak negara lain amnya dan tidak ketinggalan juga di Negara Brunei Darussalam khasnya, di mana teknologi kesihatan ini sudah dapat diakses oleh kebanyakan orang awam di negara ini.
Dengan menggunakan alat-alat ini, pengguna mempunyai peluang untuk mengawal kesihatan mereka dengan sendiri dan inilah teknologi kesihatan yang berada di hujung jari.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Consultant Orthopadic Surgeon, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Chief Medical Informatics Officer, MA, Pengiran Dr Noor Azmi bin Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad semasa berkesempatan ditemui bagi menghuraikan mengenai DMDTx dalam aplikasi BruHealth pada sesi temu bual bersama para pengamal media yang diadakan di Hospital RIPAS, pada pertengahan bulan November lalu.
Dalam temu bual berkenaan, beliau menjelaskan bahawa penjagaan pencegahan adalah nadi kepada misi kesihatan, di mana dalam hal ini menurutnya, aplikasi BruHealth menawarkan alat pemeriksaan penting untuk kanser payudara, kanser kolorektal dan penyakit kardiovaskular, yang menjadikan pengesanan awal lebih mudah diakses dan ada beberapa lagi penyakit kronik yang akan dilaratkan secara berperingkat pada masa akan datang.
“Kami juga memahami bahawa tiada siapa yang ingin mengetahui bahawa mereka mempunyai masalah kesihatan tetapi pengesanan awal memberi kita peluang untuk merawat secara berkesan dan mengelakkan komplikasi. Dengan alat ini, BruHealth memperkasa pengguna untuk mengutamakan kesihatan mereka sebelum masalah kesihatan yang lebih serius timbul,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengiran Dr Noor Azmi turut menyentuh mengenai visi Kementerian Kesihatan untuk alat kesihatan digital seperti BruHealth, di mana menurutnya misi kementerian adalah untuk memperkasakan penduduk agar lebih aktif menjaga kesihatan mereka, dengan menggunakan teknologi berkenaan.
“BruHealth adalah cara untuk menyokong orang ramai agar lebih proaktif mengenai kesihatan mereka, sama ada melalui pengurusan penyakit seperti diabetes, membuat temu janji atau mengakses sumber pendidikan. Dengan memanfaatkan teknologi digital, kami memudahkan dan menjadikan kesihatan lebih mudah diakses oleh semua orang di negara ini,” jelasnya.
Selain itu, Pengiran Dr Noor Azmi seterusnya menyatakan bahawa pemeriksaan boleh menjadi sesuatu yang menakutkan, tetapi matlamat kementerian adalah untuk menjadikannya lebih mudah diakses dan menenangkan melalui BruHealth. Dengan mengesan sebarang potensi masalah lebih awal, orang ramai dapat mengelakkan komplikasi yang serius dan menikmati hasil yang lebih baik.
Tambahnya, pemeriksaan rutin bukan sahaja tentang mencari masalah kesihatan tetapi ia juga adalah untuk memastikan orang ramai mempunyai peluang untuk menangani kebimbangan awal dan mengekalkan kehidupan normal mereka bersama keluarga yang tersayang dan rakan-rakan.
“Kami menggalakkan semua orang untuk mencuba BruHealth. Ia bukan sahaja tentang menguruskan masalah kesihatan sedia ada tetapi juga tentang memperkasakan diri dengan penjagaan, pencegahan dan wawasan kesihatan yang boleh memberi perbezaan jangka panjang.
“Alat-alat kami direka untuk menjadikan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses, berkesan, dan peribadi. Dengan menggunakan sumber-sumber ini, setiap orang boleh mengambil peranan aktif dalam perjalanan kesihatan mereka sebagai asas ke arah hidup yang lebih sihat,” jelas Pengiran Dr Noor Azmi sebelum mengakhiri temu bual.