MUSCAT, KESULTANAN OMAN, 29 APRIL – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof telah mengadakan lawatan kerja ke Kesultanan Oman selama tiga hari hingga 30 April dan seterusnya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman dalam bidang media.
Menurut kenyataan JPM, penandatangan MoU yang berlangsung di Kementerian Penerangan Kesultanan Oman di Muscat itu adalah merupakan salah satu acara sempena ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik antara Brunei dan Kesultanan Oman pada tahun 2024, serta sebagai hala tuju ke arah meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara yang sedia ada.
Ini adalah kali ketiga MoU tersebut diperbaharui dan melalui-nya, kedua-dua belah pihak akan menggalakkan kerjasama dalam pelbagai bidang media termasuk pertukaran bahan radio, televisyen serta berita dan program-program yang berkepentingan bersama, kepakaran serta pembinaan kapasiti.
Sebelum majlis penandatanganan tersebut, Yang Berhormat Pehin telah mengadakan kunjungan muhibah kepada Menteri Penerangan Kesultanan Oman, Tuan Yang Terutama Dr Abdullah bin Nasser bin Khalifa Al Harrasi.
Yang Berhormat Pehin dan Tuan Yang Terutama kemudiannya bersama-sama beredar ke bilik mesyuarat bagi majlis penandatanganan dan ini diikuti dengan lawatan ke beberapa studio di Oman TV.
Lawatan kerja Yang Berhormat Pehin itu juga akan memuatkan kunjungan ke Pameran Buku Muscat serta lawatan ke beberapa tempat menarik di Oman iaitu Royal Opera House, Muzium Negara Oman dan Masjid Utama Sultan Qaboos.
Menyertai Yang Berhormat Pehin sepanjang lawatan kerja ke Oman ialah Setiausaha Tetap (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Awang Ajman bin Haji Meludin.