Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Negara Brunei Darussalam menduduki tempat pertama dalam rantau Asia Pasifik dari segi peratusan graduan wanita dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), malah jauh ke hadapan berbanding negara maju, Amerika Syarikat (AS) yang berada di tempat ke-8.
Menurut laporan yang diterbitkan oleh Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik minggu ini, hampir separuh atau 49.2 peratus graduan STEM di Brunei adalah wanita, berbanding dengan hanya 32 peratus yang dicatatkan oleh AS.
Berdasarkan senarai yang disiarkan dalam portal Bloomberg.com itu, tempat kedua diduduki oleh Singapura dengan kadar 45.4 peratus, diikuti oleh Malaysia (41.1 peratus), Vitenam (40.7 peratus), Indonesia (37.5 peratus), New Zealand (34.5 peratus), Taiwan (33.8 peratus), AS (31.9 peratus), Mexico (31.2 peratus), Australia (31 peratus), Thailand (29.7 peratus, Korea Selatan (27.9 peratus) dan Chile (18.7 peratus).
Laporan itu menyebut bahawa berdasarkan laporan tahunan penyata negara, daripada 417,200 penduduk Brunei, kalangan pelajar peringkat tinggi, jumlah lelaki adalah jauh lebih rendah berbanding wanita dengan nisbah 67 bagi setiap 100 pelajar wanita pada tahun 2015.