Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Brunei Startup Summit 2024 kongsi pandangan trend industri

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Syarikat-syarikat pemula diiktiraf sebagai penyumbang signifikan kepada ekonomi.

    Syarikat pemula adalah lebih daripada hanya sebuah perusahaan perniagaan tetapi ia merupakan sebuah perjalanan penemuan, yang mempunyai turun dan naiknya serta memberikan kita pengajaran-pengajaran bernilai dalam perjalanan itu.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) dan Darussalam Enterprise (DARe), Daniel Leong dalam ucapan alu-aluannya pada perasmian Brunei Startup Summit 2024 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian Brunei Startup Summit pertama itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, yang juga Pengerusi LKEB dan DARe.

    Yang Berhormat Dato dalam ucapannya telah mengetengahkan peranan transformasi syarikat pemula dalam membentuk semula industri dan ekonomi dengan memberikan penekanan kepada ekosistem syarikat pemula ASEAN yang berkembang maju serta komitmen Negara Brunei Darussalam kepada memupuk sebuah persekitaran pemboleh.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyempurnakan perasmian Brunei Startup Summit 2024. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Daniel Leong menyampaikan ucapan alu-aluannya semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Chrisna Aditya menyampaikan pembentangannya semasa Brunei Startup Summit 2024, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Daniel Leong dalam ucapan alu-aluannya lagi menjelaskan bahawa walaupun persekitaran syarikat pemula di Brunei masih berada di peringkat permulaannya, pihaknya mengenali akan perlunya bagi memupuk sebuah ekosistem pemboleh bagi syarikat-syarikat pemula.

    Menurutnya, ia bukan sahaja hanya menyediakan pelaburan kewangan tetapi lebih kepada menjana sebuah persekitaran kondusif di mana idea dan perniagaan boleh berkembang maju.

    Ke arah itu, ia memerlukan kerjasama daripada semua pihak yang berkepentingan dan rakan-rakan kongsi yang memainkan peranan penting dalam menjana sebuah pendekatan yang efisien, teratur dan bersepadu dalam menyokong syarikat-syarikat pemula.

    Beliau juga menyatakan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam menyelaraskan acara itu di mana ia mengumpulkan syarikat-syarikat pemula, pembina ekosistem dan usaha sama serta memupuk sebuah persekitaran kerjasama bagi pembelajaran bersama, berkongsi pandangan dan membincangkan trend industri.

    Brunei Startup Summit 2024 yang membawa tema Innovate to Elevate: Charting the Path to a Future of Possibilities itu dianjurkan oleh LKEB menerusi DARe dengan kerjasama Makmal Inovasi Brunei (BIL) yang bermatlamat bagi memupuk pertumbuhan, kolaborasi dan inovasi dalam ekosistem syarikat pemula Negara Brunei Darussalam.

    Acara dua hari itu juga menerima sokongan daripada rakan-rakan kongsi program termasuk Syarikat Minyak Brunei Shell, Progresif Sdn Bhd, EVYD Technology Sdn Bhd, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan Microsoft Brunei di mana ia mengetengahkan pembentang-pembentang tempat dan serantau, ahli-ahli panel serta jemputan khas daripada pelbagai sektor bagi memupuk pertukaran ilmu pengetahuan dan kolaborasi.

    Dengan Brunei terus berusaha untuk memperkasakan ekosistem syarikat pemulanya, acara itu dipercayai mampu menjadi pemangkin bagi kolaborasi dan inovasi masa hadapan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...