Monday, May 12, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    BSJV rai 187 kakitangan lama berkhidmat

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Pencapaian profesional dan peribadi seramai 187 orang kakitangan syarikat-syarikat Brunei Shell Joint Venture (BSJV) yang telah berkhidmat dengan tekun bersama syarikat berkenaan diraikan dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Lama BSJV yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian anugerah ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Tenaga), Jabatan Tenaga di JPM, Haji Azhar bin Haji Yahya; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga), Jabatan Tenaga di JPM, Awang Muhammad Nizam bin Haji Ismi, ahli-ahli Lembaga Pengarah Syarikat-Syarikat BSJV, serta ahli-ahli pasukan kepimpinan syarikat-syarikat BSJV.

    Dalam kata alu-aluannya, Pengerusi Negara Syarikat-syarikat Shell di Brunei dan Pengarah Urusan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), Agnete Johnsgaard-Lewis berkata bahawa dalam BSJV, warganya merupakan aset paling berharga bagi mereka.

    “Saya amat bangga dengan profesional yang berkemahiran tinggi dan pelbagai yang ada hari ini serta bertahun-tahun, yang mempamerkan akumen komersial, kepakaran teknikal dan harga diri dalam melaksanakan kerja yang berkualiti untuk memastikan syarikat-syarikat BSJV bersedia untuk masa hadapan,” ujarnya.

    Yang Berhormat Menteri di JPM menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Lama BSJV di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, kelmarin.
    Yang Berhormat Menteri di JPM dan jemputan khas bergambar ramai bersama para penerima Anugerah Perkhidmatan Selama 40 tahun.

    Beliau seterusnya melahirkan rasa bangga dengan daya tahan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan sejawat dan rakan-rakan perniagaan dalam BSJV terutamanya dalam mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi semasa penularan COVID-19.

    “Kebanyakan daripada awda merupakan antara petugas barisan hadapan tenaga yang perlu membuat kompromi sukar dan berada jauh daripada keluarga bagi tempoh masa yang panjang,” tambahnya.

    Beliau menyatakan penghargaan kepada mereka atas perkhidmatan dan kerja keras yang dilaksanakan untuk terus menyumbang kepada perkembangan negara.

    Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Pehin menyempurnakan penyampaian anugerah kepada seramai 27 orang penerima anugerah perkhidmatan selama 40 tahun, 26 penerima anugerah perkhidmatan selama 35 tahun, 100 penerima anugerah perkhidmatan selama 30 tahun dan 34 penerima anugerah perkhidmatan selama 25 tahun.

    Wakil para penerima, Haji Jasmein Haji Mohd Said yang berusia 52 tahun, mengongsi mengenai perjalanan dan pengalamannya berkhidmat lebih 30 tahun serta perkembangan BSJV yang disaksikannya.

    Beliau yang memulakan kerjaya dengan Brunei LNG sebagai seorang jurutera operator pada 1991 telah menyaksikan kerja keras dan dedikasinya dihargai dengan laluan kerjaya yang baik dalam operasi dan produksi di mana pada masa ini, beliau merupakan ketua keselamatan operasi di bawah kesihatan, keselamatan, sekuriti dan alam sekitar (HSSE) bagi Brunei LNG.

    Beliau berkata, cabaran memang sentiasa ada tetapi bagaimana kita menanganinya yang membuat perbezaan.

    Oleh itu, beliau menyeru rakan-rakan sejawatannya untuk tidak terlalu terikat dengan cabaran-cabaran berkenaan tetapi memberikan tumpuan kepada bagaimana untuk menyelesaikannya.

    Haji Jasmein turut menyeru kakitangan BSJV untuk terus berkhidmat dengan amanah selaras dengan tuntutan negara dengan mengamalkan nilai-nilai etika, kebijaksanaan, kejujuran dan integriti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda