Ahad, 23 November 2025
Klik Lagi

    Buat kompos cepat dan efektif bersama bokashi

    WASHINGTON – Rata-rata sudah diketahui umum bahawa kunci kepada tanaman yang sihat adalah tanah yang sihat, dan cara terbaik untuk meningkatkan tanah-tanih adalah dengan mencampurkan kompos, yang boleh mengambil masa setahun untuk dihasilkan.

    Bokashi adalah kaedah membuat kompos yang boleh mempercepat proses tersebut. Ia menggunakan sejenis bahan inokulan dibangunkan di Jepun pada tahun 1980 yang mengandungi mikroorganisma berfaedah.

    Kompos memperbaiki penyaliran tanah liat dan mempertingkatkan pembendungan air pasir. Ia menghasilkan nutrien dan mikrob untuk menyuburkan tanaman sementara mengurangkan atau menghapus keperluan menggunakan baja konvensional.

    Kompos buatan sendiri, satu inisiatif yang berbaloi, memerlukan masa dan kesabaran. Ramuannya mesti digaul atau dibalik-balikkan sekali skala untuk mendedahkan kesemua bahagian ramuan kepada oksigen yang diperlukan untuk penguraian aerobik.

    Kompos bokashi mengurai ramuan secara anaerob, menggantikan fungsi oksigen dengan penapaian, yang pada asasnya menjeruk ramuan tersebut. Proses ini mengurangkan masa menunggu kepada 10 hari, dan menghasilkan produk yang jauh lebih tinggi dalam nutrien berbanding kompos tradisional.

    Kompos yang sudah terurai boleh digunakan untuk menyuburkan tanah di kebun.
    Gambar serahan Bokashi Living menunjukkan sisa-sisa makanan ditambah kepada baldi membuat kompos bokashi. – AP
    Lapisan sisa makanan ditutup dengan inokulan bran dalam baldi kompos khas. – AP

    Ia boleh dilakukan di ruang yang kecil dalam rumah, dan satu-satunya peralatan yang diperlukan adalah baldi bersaiz lima gelen dengan muncung dan penutup ketat, serta beg inokulan untuk memulakan proses penapaian. Inokulan bokashi biasanya mengandungi bran gandum, germa gandum atau habuk gergaji. Awda boleh membeli kit atau menyelidiki opsyen DIY untuk memulakan proses tersebut.

    Langkah seterusnya adalah menambah sisa makanan ke dalam baldi dalam lapisan 2 inci, menabur segenggam inokulan di atas setiap lapisan dan menutup kedap lapisan di antara campuran. Awda mungkin menutup lapisan dengan pinggan atau pembalut plastik sebelum menutup baldi untuk meminimumkan pendedahan kepada oksigen.

    Apabila baldi sudah penuh, keluarkan cecair yang terhasil dari muncung baldi selang beberapa hari. Kemudian larutkan satu sudu teh ‘teh kompos’ dalam satu kuart air dan gunakan larutan yang amat subur itu di tanah kebun atau tanaman rumah untuk menambah lagi kesuburan dan hasilnya. Elakkan terkena dedaun, dan gunakan setiap campuran sekali sehari.

    Sisa daging dan hasil tenusu – tidak boleh digunakan dalam campuran kompos biasa – boleh dimasukkan dalam baldi bokashi. Tidak seperti campuran kompos konvensional, yang tidak cukup panas untuk membunuh bakteria dan parasit, mikroorganisma dalam baldi bokashi akan menghapus mana-mana patogen yang hadir dalam produk haiwan.

    Ramuan-ramuan tersebut harus ditambah dengan cepat dan sekali-skala untuk mengelakkan terlalu banyak oksigen memasuki baldi. Begitu juga, awda harus mengelak kecenderungan untuk meme-riksa perkembangannya dengan kerap.

    Baldi yang ditutup ketat itu tidak harus mengeluarkan sebarang bau dalam bilik, tetapi awda mungkin menghidu bau manis-dan-masam apabila penutup dibuka. Ia adalah perkara biasa. Bagaimanapun, bau busuk menandakan sesuatu sudah menjadi tidak baik. Sekiranya awda mengesan bau telur busuk atau kulat hitam dapat dilihat dalam baldi (kulat putih tidak menandakan kerosakan), cuba tambahkan lebih banyak inokulan. Jika situasi tidak bertambah baik dalam masa beberapa hari, buang kompos itu, cuci dan disinfektan baldi dan mulakan proses sekali lagi.

    Apabila proses penapaian sudah selesai – sekali lagi, dalam masa 10 hari – biojisim yang terhasil masih menyerupai ramuan asal, tetapi akan mengurai dengan cepat. Ia boleh ditimbus dalam alur batas kebun baharu sekurang-kurangnya dua minggu sebelum penanaman. Pastikan tutup kompos sepenuhnya dengan tanah.

    Awda juga boleh menambahkannya di tengah tong atau longgokan kompos tradisional atau cacing (gaul bersama kandungan sedia ada), di mana ia akan terurai seterusnya.

    Jika konsep membuat ‘kompos awal’ untuk menambahkannya kepada campuran kompos konvensional tampak gagal atau sia-sia, awda perlu pertimbangkan bahawa campuran ramuan bokashi yang terurai akan menjimatkan masa beberapa bulan, dan akan memberikan kompos siap yang lebih cepat.

    Sekiranya awda tidak mempunyai campuran kompos biasa, awda boleh menghabiskan kompos bokashi dengan menggali satu lubang dan menimbus kompos di tempat tertentu dalam kebun. Selepas dua minggu, awda oleh menggali dan mengeluarkan apa yang awda perlukan dan gunakannya sama seperti kompos biasa.

    Satu lagi pilihan: Bokashi boleh ditimbus di parit di sepanjang batas kebun tetapi mesti jauh daripada tanaman. Elakkan daripada terkena akar, kerana keasidan produk tapai akan membakarnya. Atas sebab-sebab yang sama, ia tidak harus digunakan sebagai sungkup melainkan ia telah dikompos seterusnya menggunakan kaedah tradisional. – AP

    Kata Kunci

    Popular

    Nasional

    Komited memajukan kerjasama pengangkutan ASEAN

    Lawatan perkukuh jalinan, erat silaturahim

    Program RRP bantu bina sahsiah, disiplin pelajar

    Berita Berkaitan

    Daun gugur sumber manfaat taman

    Oleh Jessica Damiano - Terdapat banyak daun gugur di luar...

    Lelaki Perancis temui emas tertanam di kebun

    LYON, 6 NOV – Seorang lelaki di Perancis menemui...

    Manfaatkan sisa labu, kurangkan pelepasan gas metana

    AMERIKA SYARIKAT - Jangan biarkan labu pada musim perayaan...

    Bokashi: Teknik unik warnai fabrik gunakan berus

    KYOTO – Bunyi desis lorekan berus memenuhi bengkel yang...

    Terkini

    Komited memajukan kerjasama pengangkutan ASEAN

    Oleh Salawati Haji Yahya - BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV...

    Lawatan perkukuh jalinan, erat silaturahim

    Oleh Daniel Lim - BELAIT, 23 NOV — Ahli-ahli Majlis...

    Program RRP bantu bina sahsiah, disiplin pelajar

    Oleh Sim Y. H. - BELAIT, 23 NOV – Seramai...

    IHP Oktober 2025 meningkat 0.1 peratus

    Oleh Salawati Haji Yahya -  BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV...