Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Buat persediaan fizikal dan mental dalam aspek kepimpinan

    Oleh Sim Y.H. –

    Keinginan untuk mengikuti jejak ayahnya yang merupakan bekas anggota tentera mendorong Pegawai Kadet Dayangku Noor Umiatul Afiqah binti Pengiran Zainal Abidin bertekad untuk menceburi bidang ketenteraan sebagai kerjaya pilihan bagi dirinya.

    “Bapa saya adalah pendorong saya untuk memasuki bidang tentera. Beliaulah yang mengenalkan saya kepada dunia disiplin dan kepimpinan, memandangkan beliau bekas anggota tentera,” ujar Pegawai Kadet Dayangku Noor Umiatul Afiqah lagi dalam temu bual bersama Media Permata selepas Upacara Sovereign’s Parade bagi Pegawai-pegawai kadet pengambilan ke-22, Sekolah Pegawai Kadet yang berlangsung di Padang Kawad Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (AP ABDB), Kampung Tanah Jambu, hari ini.

    Pegawai Kadet Dayangku Noor Umiatul Afiqah juga merupakan penerima Anugerah Pedang Kehormatan (Sword of Honour) yang berkelulusan Ijazah Sarjana Sains dalam Biodiversiti dari Universiti Brunei Darussalam.

    Anugerah Pedang Kehormatan merupakan anugerah penghormatan tertinggi yang dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada pegawai kadet dan ia merupakan simbol kecemerlangan terbaik secara keseluruhan bagi pegawai kadet yang mempunyai pencapaian tertinggi dalam latihan asas ketenteraan, akademik, fizikal dan dalam semua aspek kepimpinan.

    Mengulas mengenai pilihannya untuk menjadi seorang anggota tentera, Pegawai Kadet Dayangku Noor Umiatul Afiqah menyatakan perkara kedua yang mendorongnya ialah rasa kuat hati untuk membanggakan dan menolong menaiktarafkan kehidupannya serta keluraga kerana segala insentif yang diberikan dalam bidang tentera berkenaan.

    Dayangku Noor Umiatul Afiqah semasa ditemu bual. – GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    Muhammad Akid telah menerima Anugerah Terbaik Pegawai Kadet Antarabangsa semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    Antara ahli keluarga yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH ADIB NOOR

    Penganugerahan Pedang Kehormatan baginya bukan sahaja satu penghormatan yang amat tinggi tetapi ia juga peringatan mengenai tanggungjawabnya untuk memimpin dengan integriti dan berkhidmat dengan dedikasi.

    “Ia medorong saya untuk terus berusaha dalam mencapai kecemerlangan dan memberikan inspirasi kepada orang lain untuk melakukan perkara yang sama.”

    Beliau juga menyatakan hasrat untuk terus meningkatkan usaha supaya kekal berdaya maju melalui pembelajaran dan penambahbaikan yang berterusan melalui kursus dan penyertaan aktif dalam latihan.

    Selain daripada itu, tambahnya, bimbingan daripada pegawai berpengalaman serta menanamkan dan mempraktikkan nilai-nilai teras ABDB iaitu setia, takwa, berani dan profesional dalam setiap langkah yang diambilnya.

    Ketika mengulas mengenai nasihatnya kepada golongan belia yang ingin untuk menceburi bidang ketenteraan, Pegawai Kadet Dayangku Noor Umiatul Afiqah berkata bagi mereka yang mempertimbangkan kerjaya ketenteraan, mereka harus bersedia untuk menghadapi cabaran fizikal dan mental, bersedia untuk memberikan komitmen yang tidak berbelah-bahagi serta berusaha untuk kecemerlangan dalam semua usaha mereka.

    “Ingat, ia bukan hanya tentang pemenuhan peribadi, ia tentang berkhidmat untuk tujuan yang lebih besar, untuk negara kita,” ulasnya lagi.

    Sementara itu, Pegawai Kadet, Muhammad Akid bin Ayub dari Republik Singapura, yang memiliki Diploma Sains Farmasi dari Republic Polytechnic di Republik Singapura yang menerima Anugerah Terbaik Pegawai Kadet Antarabangsa, berkata pilihannya untuk memasuki latihan di Sekolah Pegawai Kadet di AP ABDB adalah keinginannya bukan sahaja untuk mencabar dirinya tetapi untuk menjadi versi dirinya yang lebih baik.

    Baginya ia merupakan satu peluang untuk membawa kehormatan kepada ibu bapanya dan juga kepada negaranya.

    Mengulas mengenai pengalamannya semasa latihannya di Sekolah Pegawai Kadet, Pegawai Kadet Muhammad Akid berkata latihan merupakan sesuatu yang banyak memberikan pencerahan kepadanya di mana beliau berpeluang untuk mempelajari lebih mendalam mengenai dirinya serta asas dan konsep utama ketenteraan.

    Pada masa yang sama, beliau juga dapat melatih dirinya bukan sahaja secara fizikal tetapi juga secara emosi dan spiritual mengikut budaya Brunei yang mengutamakan pengajaran Islam.

    Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa latihannya di Sekolah Pegawai Kadet telah memberikannya peluang untuk mempunyai kawan-kawan sepanjang hayat serta belajar mengenai budaya dan bahasa Brunei di mana ia menjadikan lebih berupaya untuk berkomunikasi dengan orang sekeliling dengan lebih baik dan mampu untuk lebih menyesuaikan dirinya.

    Baginya pengalaman sepanjang latihannya merupakan sesuatu yang akan tetap menjadi bahagian penting dalam kehidupannya di mana segala pengalaman, pengajaran dan cabaran yang dilalui telah mematangkan dan menjadi versi terbaik dirinya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...