Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Melaungkan azan dan iqamat selain untuk sembahyang fardhu

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Azan dari segi bahasa bererti pemberitahuan (al-i‘lam), sementara dari segi syara‘ pula bererti zikir-zikir tertentu sebagai pemberitahuan masuknya waktu sembahyang fardhu lima waktu.

    Manakala iqamat dari segi bahasa bererti mendirikan. Dari segi syara‘ pula, iqamat bererti zikir-zikir tertentu sebagai pemberitahuan untuk mendirikan sembahyang.

    Azan dan iqamat disyariatkan pada tahun pertama Hijrah di Madinah dan hanya disyariatkan untuk sembahyang fardhu lima waktu sahaja, bukan untuk sembahyang-sembahyang yang lain sama ada ia sembahyang sunat yang disunatkan berjemaah seperti sembahyang sunat ‘Idilfithri, ‘Idiladhha, Gerhana Matahari atau Bulan dan sembahyang Meminta Hujan, ataupun sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah seperti sembahyang Dhuha dan sebagainya.

    Selain daripada itu azan dan iqamat juga tidak disunatkan bagi sembahyang nazar dan sembahyang jenazah.

    Hukum azan dan iqamat menurut pendapat yang ashah adalah sunat ‘ain bagi sembahyang perseorangan dan sunat kifayah bagi sembahyang berjemaah.

    Disunatkan azan ketika menghadapi kebakaran. – Gambar Canva

    Namun kadangkala azan dan iqamat juga dilaungkan dalam keadaan tertentu selain sebagai pemberitahuan masuknya waktu sembahyang atau untuk mendirikan sembahyang fardhu lima waktu.

    AZAN DAN IQAMAT SELAIN UNTUK SEMBAHYANG FARDHU

    Sebagaimana diterangkan sebelum ini bahawa azan dan iqamat itu dilaungkan sebagai pemberitahuan masuknya waktu sembahyang fardhu lima waktu dan untuk mendirikan sembahyang.

    Namun ada keadaan-keadaan di mana azan dan iqamat sunat juga dilaungkan selain sebagai pemberitahuan masuknya waktu sembahyang. Keadaan-keadaan tersebut sebagaimana disebut oleh para ulama fiqh, antaranya apa yang disebut oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj yang ertinya:

    “Disunatkan azan (sahaja) bukan kerana sembahyang, iaitu azan kepada bayi yang baru lahir, orang yang dalam kesedihan, orang yang kerasukan, orang yang marah, orang yang buruk akhlaknya sama ada manusia ataupun binatang, ketika tentera sedang berperang, ketika kebakaran, dikatakan juga ketika menurunkan mayat ke kuburnya mengambil qiyas (persamaan) daripada awal kelahirannya di dunia, akan tetapi pendapat ini saya tolak sebagaimana diterangkan dalam kitab Syarh al-‘Ubab, dan ketika menghadapi bahaya penyemaran jin iaitu menjelmakan diri (dengan bermacam-macam) sebagaimana disebut dalam hadits shahih mengenainya dan (disunatkan juga) azan dan iqamat ketika pemergian orang yang hendak bermusafir”.

    Jadi sebagaimana nas ulama di atas, dapatlah dibahagikan keadaan-keadaan melaungkan azan dan iqamat selain untuk memberitahu waktu sembahyang fardhu itu sebagaimana berikut:

    • Azan dan iqamat untuk anak damit baru lahir.

    Sunat melaungkan azan dan iqamat ke atas anak damit yang baru lahir, iaitu diazankan di telinga kanan dan diiqamatkan di telinga kirinya, kerana dengan azan dan iqamat itu akan menjauhkan anak damit tersebut daripada gangguan Umm ash-Shibyan (pengikut-pengikut golongan jin).

    Islam menganjurkan umatnya sejurus menyambut kelahiran anak dengan mengazankan di telinga kanannya dan mengiqamatkan di telinga kirinya sebagaimana disebut dalam sebuah hadits, yang diriwayatkan oleh ‘Ubaidillah bin Abi Rafi‘, dari bapanya Radhiallahu ‘anhuma yang maksudnya:

    “Aku telah melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengazankan di telinga Hasan bin Ali ketika dia dilahirkan oleh ibunya Fatimah dengan (azan) sembahyang”.

    (Hadits riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

    Antara hikmah menyerukan azan dan iqamat ke telinga anak yang baru dilahirkan itu ialah agar kalimah yang mula-mula didengar oleh anak itu ialah zikir iaitu kalimah tauhid.

    • Azan dan iqamat ketika pemergian orang yang hendak musafir.

    Disunatkan juga azan dan iqamat bagi orang yang hendak musafir iaitu musafir yang bukan maksiat. Ini kerana tidak disunatkan azan dan iqamat jika musafir itu bagi tujuan maksiat.

    • Azan ke atas orang yang dalam kesedihan.

    Sunat melaungkan azan di telinga sebelah kanan orang yang dalam kesedihan bagi menghilangkan rasa kesedihannya sebagaimana melaungkan azan di telinga kanan anak damit yang baru lahir.

    Malah jika rasa dukacita atau kesedihan itu tidak hilang dengan sekali laungan azan maka dituntut untuk mengulanginya sebagaimana diterangkan oleh as-Sayyid al-Bakri Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitab I‘anah ath-Thalibin yang ertinya:

    “(Sunat melaungkan azan di telinga orang yang dalam kesedihan). Ini kerana dukacitanya itu akan hilang dengan dilaungkan azan (ke telinganya). Jika tidak hilang dengan sekali laungan azan dituntut untuk mengulanginya”.

    • Azan ke atas orang kerasukan.

    Disebut dalam kitab I‘anah ath-Thalibin apabila diazankan di telinga orang yang kerasukan jin akan hilanglah kerasukannya itu kerana jin itu akan keluar atau lari.

    Menurut asy-Syanawani Rahimahullahu Ta‘ala, daripada apa yang telah dicuba bagi membakar jin adalah dengan mengazankan di telinga orang kerasukan sebanyak tujuh kali, dibaca surah al-Fatihah tujuh kali, surah al-Falaq, surah an-Nas, ayat al-Kursiy, surah ath-Thariq, akhir surah al-Hasyr bermula daripada ayat 21 sehingga 24 dan dibaca surah ash-Shafat bermula daripada ayat 177 sehingga 186. Menurutnya lagi, jika dibaca ayat al-Kursiy sebanyak tujuh kali di atas air kemudian dipercikan ke muka orang yang diganggu jin, maka ia boleh menyembuhkan.

    • Azan ketika menghadapi kebakaran, ketika menghadapi bahaya penjelmaan jin dan ketika tentera sedang berperang.

    Disunatkan azan ketika menghadapi kebakaran dan ketika menghadapi bahaya jin dan syaitan yang menyerupai dengan bermacam-macam rupa. Begitu juga disunatkan azan ketika tentera sedang bertempur di medan perang.

    • Azan ke atas orang yang sedang marah dan orang yang buruk akhlaknya.

    Disunatkan juga azan di telinga orang yang sedang marah dan ke telinga orang yang buruk sifatnya, sama ada daripada manusia atau binatang.

    BOLEHKAH PEREMPUAN MELAUNGKAN AZAN DALAM KEADAAN TERTENTU DI LUAR WAKTU SEMBAHYANG?

    Dalam perkara azan dan iqamat untuk melakukan sembahyang, salah satu syarat bagi orang azan dan iqamat itu ialah lelaki. Maka tidak sah jika azan itu dilaungkan oleh perempuan bagi jemaah lelaki. Bahkan haram jika perempuan meninggikan suaranya di hadapan mereka (orang lelaki ajnabi). Demikian juga haram ke atas perempuan melaungkan azan yang suaranya dapat didengar oleh orang lelaki ajnabi itu, sekalipun di hadapan mahram atau kaum sejenisnya.

    Namun tidaklah makruh jika perempuan itu azan bagi jemaah perempuan dengan suara yang rendah, bahkan mendapat pahala yang demikian itu, kerana ia dikira sebagai zikir, tetapi bukan sebagai azan dengan maksud pemberitahuan (al-i‘lam). Sunat bagi perempuan menyerukan iqamat sahaja dengan suara yang rendah jika dia sembahyang bersendirian.

    Tetapi sunat dengan suara yang tinggi jika sembahyang itu didirikan secara jemaah sesama perempuan sahaja.

    Maka begitulah juga kedudukan ke atas perempuan melaungkan azan dan iqamat dalam waktu-waktu tertentu selain waktu sembahyang adalah tidak disunatkan. Ini adalah kerana azan itu adalah kerja orang lelaki.

    Sebagai contoh dalam perkara mengazankan dan mengiqamatkan anak yang baru lahir, adalah disyaratkan orang yang azan itu seorang lelaki yang beragama Islam. Manakala anak yang dilahirkan itu juga adalah anak orang Islam sebagaimana disebut dalam kitab I‘anah ath-Thalibin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...