TONTO BASIN, Arizona, 2 DIS – Sembilan ahli sebuah keluarga Arizona, berkumpul bersama untuk cuti Kesyukuran, berada dalam trak tentera apabila ia terkandas dalam anak sungai yang melimpah akibat ribut kuat.
Empat kanak-kanak dan dua orang dewasa keluar dan diselamatkan oleh helikopter, namun tiga kanak-kanak tinggal dalam trak dan ia dihanyutkan selepas itu.
Anggota menyelamat dengan helikopter, dron, bot dan anjing serta kumpulan sukarelawan mencari seorang budak perempuan berusia enam tahun yang hilang sejak Jumaat. Adik dan sepupunya, kedua-duanya berusia 5 tahun, ditemui mati pada Sabtu.
“Kami mahu membawanya pulang dengan selamat kepada keluarganya,” kata Lt. Virgil Dodd daripada Pejabat Syerif Daerah Gila. “Dia perlu pulang hari ini, dan kami akan melakukannya.”
“Pada senja semalam, anggota menyelamat berkata mereka menemui satu kasut yang mungkin milik budak perempuan itu.
Kasut itu berada 200 ela dari tempat kenderaan keluarga terkandas dalam anak sungai.
Lebih 100 anggota sukarelawan berkumpul berhampiran Tonto Basin, komuniti kecil di timur laut Phoenix, pada awal semalam untuk mencari budak perempuan yang hilang, Willa Rawlings, yang kali terakhir dilihat memakai seluar jeans dan jaket ungu.
Ibu bapa Willa, Daniel dan Lacey Rawlings, kedua-duanya diselamatkan dari trak tetapi anak lelaki mereka, Colby Rawlings dan anak saudara, Austin Rawlings, tidak ada dalam kenderaan apabila ia dikeluarkan dari anak sungai keesokan harinya.
Mayat mereka ditemui kira-kira 600 hingga 1,000 ela dari lintasan.
Anak sungai itu ditutup dengan papan tanda, kata pihak berkuasa. – AP
