Thursday, May 2, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Bukan mudah bekerja pada 1 Syawal

    Oleh Lyna Mohammad – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Semangat Hari Raya Aidilfitri memang disambut dengan meriah pada minggu pertama perayaan, namun terdapat segelintir individu sama ada yang bertugas dari sektor kerajaan dan swasta, termasuk anggota beruniform, yang tidak dapat menyambut hari raya pertama bersama keluarga kerana tuntutan tugas.

    Pengalaman tersebut turut dikongsikan oleh beberapa orang individu antaranya Dayang Siti Norhamizah binti Mohd Soffian, seorang wartawan yang bertugas di Istana Nurul Iman pada hari raya pertama yang menyatakan bahawa ia agak sukar untuk berjauhan dengan keluarga terutama pada hari pertama dan terlepas peluang bagi bertanya khabar ibu bapa dan adik-beradik serta memohon kemaafan dan restu daripada ibu bapanya kerana dia terpaksa keluar awal untuk bekerja.

    “Sulit rasanya jauh dari keluarga, terutama pada hari yang istimewa ini,” ungkapnya.

    Meskipun demikian, Dayang Siti menganggap perkara itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab profesionalnya, di mana suasana keramaian dengan kumpulan rakan sekerja yang turut bertugas pada hari pertama perayaan membantu menceriakan suasana dengan gelak tawa dan sambutan ringkas dalam pejabat untuk mengekalkan mood raya.

    Dari Solo, Indonesia, Wono Novi Putrianti, seorang pengurus hotel, menyatakan bahawa kali terakhir dia merayakan hari raya bersama keluarganya adalah tiga tahun yang lalu.

    Suasana keramaian dengan kumpulan rakan sekerja yang turut bertugas pada hari pertama Aidilfitri membantu menceriakan suasana dengan gelak tawa dan sambutan ringkas dalam pejabat untuk mengekalkan mood raya. – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMMAD
    Awang Mohammad Azahar berasa beruntung dapat merayakan hari raya pertamanya bersama isteri, meskipun harus bertugas pada hari yang sama. – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMMAD
    Dayang Siti Nurshahkirah menyatakan bahawa ia adalah kali keenam dia meraikan Aidilfitri tanpa ibunya. – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMMAD

    “Sudah 14 tahun saya bekerja di sini, dan suasana raya di Brunei yang dirayakan sebulan penuh membantu saya berasa lebih baik,” kata Novi.

    Novi menambah, bekerja pada hari raya pertama adalah lebih baik daripada terpaksa tinggal di rumah pada waktu pagi atau raya kerana dia sangat merindui anaknya di rumah tetapi dia tidak membiarkan perasaan sedihnya berlarutan memikirkan alasannya untuk berjauhan, tidak lain tidak bukan daripada melihat anaknya membesar dengan baik dan rakan sekerjanya hadir bagi menceriakan hari itu.

    Sementara itu, Awang Mohammad Azahar, seorang concierge di Hotel Mulia, berasa beruntung dapat merayakan hari raya pertamanya bersama isteri, meskipun harus bertugas pada hari yang sama.

    “Sedih memang ada, tapi saya menantikan hari-hari raya selanjutnya saat saya tidak bertugas dan dapat berkunjung dengan istri,” katanya.

    Dayang Siti Nurshahkirah, seorang agen penyambut tetamu di Hotel Mulia, menyatakan bahawa ia adalah kali keenam dia menyambut Aidilfitri tanpa ibunya.

    “Bekerja pada hari raya pertama tidak terlalu mengganggu saya, karena saya akan segera bertemu dengan saudara mara dari Malaysia yang datang berkunjung,” ujarnya.

    Jimmy, yang bekerja di luar pesisir, telah terbiasa tidak menghadiri acara perkumpulan keluarga pada hari raya pertama.

    “Keluarga saya kecil, dan orang tua saya sudah tiada, jadi saya tidak terlalu keberatan bekerja pada hari raya pertama,” katanya.

    Dia meluangkan waktu rehatnya bersama rakan sekerja, yang menambah kebahagiaan pada hari-hari lain.

    Berdasarkan perkongsian pengalaman di atas dapatlah disimpulkan bahawa meskipun terhalang untuk berkumpul bersama keluarga, semangat hari raya tetap dapat diraikan dengan penuh kebahagiaan.

    “Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Rayakanlah dengan senyuman dan kebahagiaan, dan kirimkan kasih sayang awda kepada keluarga yang tersayang,” pesan mereka.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bangladesh catat suhu paling panas bulan April

    DHAKA, 1 MEI - Biro cuaca Bangladesh berkata hari ini bahawa bulan lalu merupakan bulan paling panas dalam rekod, dengan negara Asia Selatan dan...