Wednesday, May 1, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Kes selesema burung dalam manusia amat membimbangkan

    GENEVA, 18 APRIL – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyuarakan kebimbangan hari ini mengenai penyebaran selesema burung H5N1 yang semakin meningkat kepada spesies baharu, termasuk manusia, yang menghadapi kadar kematian ‘luar biasa tinggi’.

    “Saya rasa ia tetap satu kebimbangan yang besar,” kata ketua saintis agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Jeremy Farrar kepada pemberita di Geneva.

    Wabak selesema burung semasa bermula pada 2020 dan telah menyebabkan kematian berpuluh juta ayam itik, dengan unggas liar turut dijangkiti serta mamalia darat dan laut.

    Lembu dan kambing menyertai senarai bulan lepas satu perkembangan yang mengejutkan bagi pakar kerana ia tidak dianggap terdedah kepada jenis influenza ini.

    Strain A (H5N1) telah menjadi ‘pandemik haiwan zoonosis global’, kata Farrar.

    Lembu tenusu Holstein makan di sebuah lading tenusu di Idaho. Strain selesema burung HPA1 yang membunuh jutaan unggas liar telah ditemui dalam 24 lembu tenusu di lapan negeri AS. – AP

    “Kebimbangan besar sudah tentu adalah menjangkiti itik dan ayam dan kemudian semakin banyak mamalia, virus itu kini berkembang dan membangunkan keupayaan untuk menjangkiti manusia dan kemudian secara kritikal berkeupayaan untuk merebak dari manusia ke manusia.”

    Setakat ini, tiada bukti menunjukkan virus influenza A (H5N1) merebak antara manusia.

    Namun dalam ratusan kes di mana manusia telah dijangkiti melalui sentuhan dengan haiwan, ‘kadar kematian adalah luar biasa tinggi,’ kata Farrar.

    Dari awal 2023 hingga 1 April tahun ini, WHO berkata ia telah merekodkan 463 kematian daripada 889 kes manusia di 23 negara, meletakkan kadar kematian kes pada 52 peratus.

    Dalam perkembangan membimbangkan, pihak berkuasa AS awal bulan ini berkata seorang di Texas sedang pulih daripada selesema burung selepas terdedah kepada lembu tenusu.

    Beliau berkata usaha sedang dijalankan ke arah pembangunan vaksin dan terapeutik untuk H5N1, dan menekankan keperluan untuk memastikan pihak berkuasa kesihatan serantau dan nasional di seluruh dunia mempunyai kapasiti untuk mendiagnosis virus itu. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bangladesh catat suhu paling panas bulan April

    DHAKA, 1 MEI - Biro cuaca Bangladesh berkata hari ini bahawa bulan lalu merupakan bulan paling panas dalam rekod, dengan negara Asia Selatan dan...