Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Buku sumber bertajuk Understanding Shared Histories in Southeast Asia, hasil Projek Promoting Intercultural Dialogue and A Culture of Peace in Southeast Asia Through Shared Histories yang dianjurkan oleh United Nations Education, Scientific and Cultural Organisations (UNESCO) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Perkembangan Kurikulum telah dilancarkan, hari ini.
Pelancarannya telah disempurnakan oleh Timbalan Setia-usaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman pada majlis yang berlangsung di Dewan Serambi Batil, Tarindak D’Seni, di sini.
Penghasilan buku sumber itu bertujuan untuk mengembangkan dan mempromosi bahan sumber pendidikan yang inovatif bagi sejarah Asia Tenggara.
Pemangku Pengarah Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Ali Hamdani bin Haji Muhamad Diah menerangkan bahawa pada 2016, Negara Brunei Darussalam telah terpilih sebagai negara rintis bagi pelaksanaan UNESCO Intercultural Dialogue and A Culture of Peace In Southeast Asia through Shared Histories.
Projek itu, jelasnya, bermatlamat untuk membina dan mempromosikan bahan pendidikan inovatif mengenai sejarah, memupuk pemahaman, pemilikan, pemikiran dan kemahiran penyelidikan sejarah serta kesedaran dan penghayatan dialog dan hubungan antara budaya.
Ia juga bermatlamat memberi pendedahan kepada pelajar tentang sejarah Brunei dan Asia Tenggara serta mengembangkan pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 dan meningkatkan kualiti pengajaran dalam bilik darjah.
Menerusi penghasilan buku sumber itu, guru-guru diharap akan dapat memanfaatkan perisian buku dalam memberi pendedahan dan memupuk kesedaran, kefahaman di kalangan pelajar mengenai persamaan sejarah dan budaya negara kita dan rantau Asia Tenggara.
Majlis seterusnya menyaksikan Awang Aliuddin menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan, buku dan cenderahati kepada Jawatankuasa Penghasilan Buku Sumber
yang terdiri daripada guru-guru mata pelajaran Social Studies Tahun 7 dan 8 serta pegawai-pegawai Jabatan Perkembangan Kurikulum.
Beliau turut menyaksikan pameran poster lukisan daripada pemenang-pemenang pertandingan melukis yang bertemakan ASEAN bagi pelajar Tahun 9 yang diadakan pada September 2018 sebagai salah satu aktiviti bagi projek penghasilan buku sumber berkenaan.
Buku sumber itu akan diagih-agihkan kepada semua sekolah menengah kerajaan dan swasta di bawah Kementerian Pendidikan serta sekolah-sekolah Arab Kementerian Hal Ehwal Ugama.