Ketahui tanda-tanda, punca dan bahaya kerosakan drive shaft serta tip untuk mengelakkan masalah ini bagi memastikan keselamatan dan prestasi kenderaan awda dari laman blog Carlist Malaysia.
Ketika memandu, terdapat beberapa tanda drive shaft rosak yang perlu diambil tahu bagi memastikan keselamatan awda. Salah satu isu yang sering diabaikan adalah apabila terdengar bunyi kuat seperti ‘ketak-ketak’ semasa membelok ataupun melakukan pusingan-U dan itu disebabkan berlakunya kerosakan pada drive shaft.
Drive shaft adalah komponen penting dalam sesebuah kenderaan bagi mengalirkan kuasa dari transmisi ke roda dan pengawalan stereng. Kerosakan drive shaft juga bukan sahaja menjejaskan prestasi kenderaan, ia juga boleh menjejaskan keselamatan pemandu dan penumpang.
APA ITU DRIVE SHAFT?
Drive shaft atau dikenali juga sebagai aci pemacu merupakan komponen penting untuk menghubungkan transmisi pada roda yang membuatkan roda bergerak. Bagi kenderaan dengan penggerak roda depan, kenderaan itu mempunyai dua drive shaft iaitu di sebelah kanan dan kiri. Setiap drive shaft mempunyai CV joint (kaki-kaki berputar) yang memainkan peranan dalam mengurangkan geseran semasa pemanduan dan membolehkan roda bergerak semasa membelok.
TANDA-TANDA DRIVE SHAFT ROSAK
Kalau awda mendengar bunyi ‘ketak-ketak’ semasa membelok atau melakukan pusingan-U, itu merupakan tanda pertama bahwa drive shaft awda menghadapi masalah. Berikut adalah tanda-tanda drive shaft rosak lain yang perlu awda ambil perhatian:
• Bunyi kasar semasa membelok
Bunyi ‘ketak-ketak’ apabila membelok atau pusingan-U disebabkan oleh kehausan atau kerosakan CV joint dalam drive shaft. Itu sering berlaku apabila boot getah yang melindungi CV joint terkoyak dan menyebabkan minyak grease bocor serta menyebabkan kotoran masuk ke dalamnya lalu merosakkan komponen tersebut.
• Gegaran semasa memecut
Kalau kereta awda bergegar semasa memecut, bearing drive shaft awda berkemungkinan mengalami masalah.
• Kebocoran minyak grease
Apabila boot getah di CV joint rosak, akan berlaku kebocoran grease dan mengakibatkan CV joint terdedah kepada kotoran debu, akhirnya menyebabkan komponen itu rosak.
• Stereng berat atau tidak stabil
Stereng yang terasa berat atau tidak stabil semasa selekoh tajam boleh disebabkan oleh kerosakan pada drive shaft kereta tersebut.
MENGAPA DRIVE SHAFT ROSAK?
Punca drive shaft rosak adalah kerana beberapa faktor seperti:
• Kehausan semula jadi: Drive shaft akan mengalami kehausan daripada penggunaan harian terutama kereta yang berusia lebih dari lima tahun atau jarak melebihi 100,000 kilometer.
• Pemanduan agresif: Pemanduan yang kasar atau agresif semasa membelok di selekoh tajam juga boleh mempercepatkan kerosakan pada drive shaft.
• Penyelenggaraan diabaikan: Jika pemeriksaan berkala tidak dijalankan mengikut jadual, masalah drive shaft berkemungkinan tidak disedari pemilik sehingga ia menjadi lebih teruk.
HARGA DRIVE SHAFT
Harga drive shaft bergantung kepada jenama dan jenis kenderaan. Di Malaysia, secara anggarannya, drive shaft berharga antara RM500 hingga RM2,000 atau lebih mengikut kualiti dan model kenderaan. Penggantian drive shaft perlu dilakukan dengan segera supaya dapat mengelakkan daripada ia menjadi lebih teruk dan akan mengakibatkan kos pembaikan yang berlebihan.
BAHAYA DRIVE SHAFT ROSAK
Bahaya drive shaft rosak tidak hanya memberi kesan kepada prestasi kereta atau keselesaan pemandu, ia juga boleh membawa kepada risiko keselamatan.
Stereng akan menjadi susah untuk dikawal dan berpotensi untuk menyebabkan tayar terkeluar yang boleh mengakibatkan kemalangan yang serius adalah kesan drive shaft rosak.
TIP UNTUK MENGELAKKAN KEROSAKAN DRIVE SHAFT
Bagi memastikan drive shaft awda kekal dalam keadaan baik, berikut adalah beberapa langkah pencegahan:
• Pemeriksaan berkala: Periksa drive shaft secara berkala, terutamanya jika kenderaan awda melebihi lima tahun atau 100,000km.
• Jangan abaikan bunyi kuat: Bawa kereta awda ke bengkel dengan segera jika awda mendengar bunyi ‘ketak-ketak’ semasa membelok.
• Penyelenggaraan rutin: Pastikan boot getah dalam keadaan baik dan gantikannya secepat mungkin jika rosak bagi mengelakkan kemasukan kotoran dan grease ke dalam CV joint.
• Elakkan pemanduan agresif: Elakkan daripada memandu secara agresif dan cuba hindari daripada lalu di jalan yang terlalu kasar terutama pada waktu hujan atau selepas cuaca buruk. – Agensi