Monday, February 26, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Calon Yang Dipertua Negeri Sarawak bakal diumum – Anwar

    KUALA LUMPUR, 22 JAN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan calon Yang Dipertua Negeri Sarawak yang baharu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau berkata pengumuman mengenai perkara itu dijangka dilakukan dalam tempoh satu atau dua hari lagi.

    Anwar berkata nama calon Yang Dipertua Negeri itu telah dikemukakan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg kepadanya dan seterusnya dipersembahkan (oleh Perdana Menteri) kepada Al-Sultan Abdullah pada minggu lepas.

    “Seterusnya mengenai pelantikan Yang Dipertua Dewan Negara, kita bincang dan akan adakan mesyuarat Sekreteriat Kerajaan Perpaduan malam ini supaya dapat disegerakan pelantikannya,” katanya.

    Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Pemikiran Global 2024 bertemakan The Next 100 Years: Vision 2100 for Malaysia di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai spekulasi peletakan jawatan Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Speaker Dewan Negara seperti dilaporkan media pada Jumaat bagi menyandang jawatan TYT Sarawak kelapan, menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud.

    Anwar bagaimanapun tidak memberi sebarang pengesahan mengenai peletakan jawatan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu. – Bernama

    Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menyampaikan ucapan pada perasmian Wacana Pemikiran Global 2024, kelmarin. Datuk Seri Anwar mengongsikan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan calon Yang Dipertua Negeri Sarawak yang baharu. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Selatan tetapkan Khamis hari terakhir doktor mogok kembali bekerja

    SEOUL, 26 FEB - Kerajaan Korea Selatan memberi doktor muda yang mogok empat hari untuk melaporkan diri ke tempat kerja, dengan berkata hari ini...