Monday, April 28, 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    CBHB, T7 Global meterai MoU

    KUALA LUMPUR, 26 Sept – Crest Builder Holdings Bhd (CBHB) dan T7 Global Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membentuk perkongsian strategik bagi projek pembinaan di Jalan Ampang, di sini.

    Projek itu adalah bagi pembinaan cadangan pembangunan bercampur satu blok bangunan komersial setinggi 44 tingkat bagi pembangunan Latitud8.

    Unit CBHB dan unit T7 Global, masing-masing Crest Builder Sdn Bhd (Crest Builder) dan T7 Kemuncak Sdn Bhd (T7 Kemuncak), memeterai MoU itu hari ini sebagai menandakan kerjasama tersebut yang akan menyaksikan kedua-dua pihak menggabungkan keupayaan dan sumber mereka bagi cadangan projek tersebut.

    “MoU itu akan berkuat kuasa hari ini bagi tempoh enam bulan.

    “T7 Kemuncak dipertanggungjawabkan menyediakan cadangan teknikal dan komersial yang terperinci bagi kerja pembinaan dan seterusnya pelaksanaan kerja dengan Crest Builder,” kata CBHB dan T7 Global dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

    Menurut kenyataan itu, kedua-dua CBHB dan T7 Global gembira dengan pakatan tersebut dan yakin kerjasama baharu itu akan membolehkan kedua-dua syarikat memanfaatkan kekuatan dan kecekapan mereka dalam projek itu.

    Projek Latitud8 dengan nilai pembangunan kasar RM1.1 bilion adalah pembangunan tanah bersama antara Intan Sekitar Sdn Bhd, anak syarikat 51 peratus milik CBHB, dan Prasarana Malaysia Bhd bagi pembangunan tanah komersial utama yang terletak di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Dang Wangi, berukuran 1.1 hektar.

    Projek pembangunan itu adalah pembangunan berorientasikan transit pertama di Malaysia bagi Prasarana, direka bentuk dan akan dibina di atas stesen LRT yang aktif dan beroperasi.

    Latitud8 adalah pembangunan bercampur-komersial yang menampilkan podium runcit gaya hidup dengan kemudahan perniagaan dan konvensyen, ruang pejabat terbuka, kediaman pejabat rumah pejabat kecil serta lounge atas bumbung dan bar. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda