JAKARTA, 3 NOV – Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) menyenaraikan Indonesia sebagai destinasi berisiko ‘rendah’.
Agensi itu menggunakan data COVID-19 yang dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan sumber rasmi lain untuk membuat penentuan mengenai tahap notis kesihatan perjalanan.
“Pastikan anda sudah lengkap divaksin sebelum melancong ke Indonesia,” kata CDC di laman sesawangnya, sambil menambah bahawa pengembara yang lengkap vaksin COVID-19 kurang berisiko mendapat jangkitan dan menularkannya.
Agensi itu menetapkan empat tahap dalam mengesyorkan kesihatan perjalanan COVID-19, dengan tahap satu dianggap rendah. Diikuti tahap dua (sederhana), tahap tiga (tinggi) dan tahap empat (sangat tinggi).
CDC, bagaimanapun, menasihatkan perjalanan antarabangsa mengenai risiko tambahan yang mungkin timbul, malah pengembara yang belum lengkap vaksin mungkin berisiko lebih tinggi untuk dijangkiti dan menyebarkan beberapa varian COVID-19. – Bernama