Penyanyi Celine Dion meluahkan rasa kesal dan tidak berpuas hati apabila lagu popularnya My Heart Will Go On dipalsukan menerusi teknologi kecerdasan buatan atau AI.
Bengang tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu, Celine, 59, melarang mereka menggunakan segala kandungan berkaitan muzik, suara atau wajahnya tanpa kebenaran.
“Sudah dimaklumkan kepada kami bahawa muzik yang dihasilkan oleh AI tanpa kebenaran ini mengandungi persembahan muzik Celine Dion, serta nama dan rupa beliau kini tersebar di Internet melalui pelbagai platform digital penstriman muzik.
“Harap maklum bahawa rakaman ini adalah palsu dan tidak diluluskan, serta bukan lagu daripada nyanyian asli saya,” tulisnya di Instagram.
Dalam pada itu, Celine berkata dia akan mengambil tindakan tegas bagi setiap penggunaan muzik tanpa kebenaran terutamanya di platform penstriman digital.
Ini bukan kali pertama Dion secara terbuka membincangkan penggunaan muzik dan suaranya tanpa kebenaran.
Untuk rekod, lagu My Heart Will Go On dilancarkan pada tahun 1997 dan merupakan hasil ciptaan komposer muzik James Horner.
Lagu ini menjadi hit pada tahun yang sama setelah diangkat menjadi runut bunyi bagi filem Titanic.
Pada Ogos tahun lalu, Celine Dion didesak untuk memfailkan saman terhadap Donald Trump kerana menggunakan lagu nyanyiannya iaitu My Heart Will Go On sewaktu kempen pilihan raya di Montana, Amerika Syarikat. – Agensi
