Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Bahagian Perkembangan Guru dan Pelajar Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-sekolah Ugama Kawasan Brunei IV telah mengadakan satu sesi ceramah motivasi petang kelmarin bagi menanam semangat dan dorongan kepada pelajar-pelajar yang akan menghadapi Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) pada November.
Ceramah berkenaan disampaikan oleh penceramah undangan, seorang kaunselor dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Cikgu Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor dan diadakan di Dewan Serbaguna, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam, Kampung Mulaut.
Acara berkenaan diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah dan bacaan Doa Selamat oleh Guru Besar Sekolah Ugama Panglima Barudin Limau Manis, Awang Murni bin Haji lbrahim.
Antara yang hadir ialah Pegawai Pengajian Islam Daerah Brunei-Muara, Dayang Hajah Mu’izzah binti Kefli, Kawasan Brunei V; guru-guru serta pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah ugama Kawasan Brunei IV.
Dengan adanya program berkenaan, diharap para pelajar akan dapat mempersiapkan diri agar lebih giat berusaha, yakin dan beriltizam kuat demi mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam peperiksaan yang akan datang.
Semua di atas: Antara suasana semasa sesi ceramah berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JABATAN PENGAJIAN ISLAM