Thursday, June 27, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    ChatGPT jadi mentor pemaju perisian aplikasi warga emas

    TOKYO – Seorang lelaki Jepun berusia 89 tahun memulakan pengekodan setelah bersara dan kini membangunkan aplikasi untuk demografi warga emas yang berkembang pesat, menggunakan ChatGPT untuk memperhalus lagi kemahirannya.

    Setakat ini, Tomiji Suzuki telah membangunkan 11 aplikasi iPhone percuma untuk membantu penduduk Jepun yang semakin tua, termasuk yang terbaharu iaitu tayangan slaid bagi barangan yang perlu diingati apabila meninggalkan rumah, daripada
    dompet dan alat pendengaran hingga kad pendaftaran pesakit.

    Dia mendapat inspirasi untuk mencipta aplikasi itu, yang menampilkan suara cucunya, selepas menyedari dia terlupa gigi palsunya ketika dia hendak menaiki kereta api.

    “Perkara sebegini berlaku kepada warga emas,” katanya dengan ketawa sambil memberitahu AFP bahawa usianya menjadi kelebihan apabila mencipta idea untuk program-program tersebut.

    “Walau sekeras mana pun mereka berusaha, saya rasa golongan muda tidak memahami keperluan dan harapan warga emas,” katanya.

    Gambar yang diambil pada 25 Februari lali menunjukkan menunjukkan Tomiji Suzuki (tengah) menghadiri bengkel di Tokyo. – AFP
    Gambar AFP
    Gambar Freepik

    Hampir satu pertiga daripada penduduk Jepun berumur 65 tahun ke atas, menjadikannya negara tertua di dunia selepas Monaco yang kecil, dan satu dalam 10 orang berusia 80an.

    Seperti di negara-negara maju yang lain, kadar kelahiran menjunam telah menimbulkan kebimbangan mengenai krisis demografi bakal muncul dengan pekerja yang tidak mencukupi untuk menyokong para pesara yang semakin meningkat.

    Suzuki pernah bekerja di sebuah syarikat perdagangan namun minatnya terhadap pengkomputeran muncul setelah usia lanjut, mengambil kursus pemprograman pada
    awal 2010-an.

    “Saya suka mencipta sesuatu,” katanya.

    “Apabila saya mendapati saya boleh membangunkan aplikasi sendiri – dan jika saya melakukannya, Apple akan memasarkannya ke seluruh dunia – rasanya seperti idea yang bagus.”

    Untuk membantunya membangunkan aplikasi Outing Prep Voice Slide Show, yang dikeluarkan pada April lalu, Suzuki bertanyakan sekitar 1,000 soalan berkaitan pengekodan kepada ChatGPT.

    Dia menyifatkan chatbot AI generatif sebagai ‘guru yang hebat’ dan juga telah menerbitkan buku tentang menggunakannya sebagai mentor pemprograman.

    “Saya bertuah… Jika saya meninggal dunia setahun, atau dua tahun lalu, saya tidak akan berjumpa (ChatGPT),” katanya.

    Suzuki berkata, kerja lamanya mengeksport kereta ke Asia Tenggara dan rantau-rantau lain telah membantunya bertanya soalan yang betul.

    “Pada zaman muda saya, syarikat-syarikat perdagangan menggunakan telegram untuk berkomunikasi, awda perlu berhati-hati untuk menghantar mesej yang jelas, dalam satu ayat pendek.”

    Aplikasinya yang paling popular ialah Pee Count Record yang mendapat 30 muat turun setiap minggu, walaupun tiada usaha dilakukan untuk pemasaran.

    Apabila Suzuki menjalani pembedahan hernia dua tahun lalu, jururawat akan bertanya kepadanya berapa kali dia telah membuang air kecil.

    Tetapi dengan kekerapan sehingga 12 kali sehari selepas pembedahan, “Saya tidak ingat tanpa mencatatnya,” katanya, lalu memutuskan untuk membangunkan aplikasi bagi membantu menjejak jumlahnya.

    Abang pemaju itu, Kinji Suzuki, 92, menggunakan beberapa aplikasi berkenaan termasuk Voice Input Assist.

    “Ia berguna kerana apabila awda semakin tua, menjadikan sukar untuk awda menaip,” katanya sambil menunjukkan cara-cara menggunakan alat pengecaman suara untuk menghantar e-mel.

    Etsunobu Onuki, 75, mengusahakan kedai alat pendengaran di pinggir bandar Tokyo di mana Suzuki menjadi pelanggan semasa lebih muda.

    Dia menggunakan aplikasi menguatkan otot mulut yang dicipta oleh Suzuki yang dinamakan A-I-U-Be Exercise berdasarkan bunyi yang dibuat oleh pengguna.

    “Saya selalu melakukannya semasa duduk di dalam bilik mandi,” kata Onuki, yang juga peminat aplikasi tayangan slaid baharu, yang menghalangnya daripada meninggalkan kunci rumahnya apabila menutup kedainya.

    “Saya ingin mengesyorkan aplikasi ini kepada pelanggan saya,” yang kebanyakannya berusia 70an dan 80an dan sering terlupa membawa kad pendaftaran untuk kedai itu.

    Suzuki merupakan ahli kumpulan kebangsaan yang dinamakan Rangkaian Pemprograman Senior (SPN) dan berkata ahli-ahli lain telah membantunya sepanjang perjalanannya.

    Pengasas SPN, Katsushiro Koizumi, 51, percaya bahawa warga emas dan AI mempunyai keserasian yang baik.

    Beliau menggesa ahli-ahli untuk melangkah lebih jauh dan membenamkan alat AI
    generatif yang sedang berkembang dalam aplikasi mereka, yang boleh berinteraksi dengan warga emas.

    “Pengguna boleh mengendalikan aplikasi dengan hanya bercakap bahasa semula jadi,” kerana kadangkala sukar untuk orang tua untuk menekan punat, atau seret dan lepas ikon, pada skrin telefon yang kecil.

    Suzuki bersetuju dan berkata bahawa walaupun halangan tinggi untuk menjadi pemaju aplikasi warga emas, “sebaik sahaja awda mendalami dunia ini, awda akan melihat bahawa ia sangat menyeronokkan”.

    “Jika awda tidak mempunyai apa-apa untuk dilakukan selepas bersara, selami bidang ini. Awda boleh menemukan diri awda yang baharu.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea S, AS, Jepun mula latihan ketenteraan

    SEOUL, 27 JUN - Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun memulakan latihan ketenteraan baru yang besar hari ini, kata Ketua Turus Bersama Seoul,...