LONDON, 16 MAC – Enzo Maresca tegaskan Chelsea tidak perlu mematuhi taktik tegarnya jika mereka mahu menang dalam perlawanan penting London derby menentang Arsenal malam nanti.
Skuad kendalian Maresca diejek oleh penyokong yang kecewa ketika mereka bersusah payah meraih kemenangan 1-0 menentang Leicester di Stamford Bridge hujung minggu lalu.
Taktik The Blues menyimpan bola dan memperlahankan permainan walaupun terdapat peluang menyerang pertahanan Leicester yang bocor, menyebabkan rancangan Maresca dikritik.
Maresca pula berkali-kali tegaskan bahawa dia akan menggantikan pemain yang tidak mematuhi arahannya.
Tetapi untuk berkunjung menentang Arsenal kali ini, jurulatih Itali itu mengakui Chelsea boleh bersikap fleksibel.
“Tujuan asal tetap sama (untuk mengawal bola). Mampu atau tidak banyak bergantung kepada pihak lawan,” katanya.
“Saya diberitahu bahawa Pedro Neto semasa menentang Copenhagen selalu melakukan pecutan sepenuh 90 minit permainan. Sebabnya ialah kami duduk di dalam kotak pertahanan kami.
“Jadi sekiranya rancangan menentang Arsenal adalah duduk dan menunggu, pasti penyerang dan pemain sayap kami akan melakukan 20 larian pecut selama 60, 70 minit.
“Apabila awda sentiasa berada di kawasan lawan, tiada ruang untuk melakukan pecut seperti itu.
“Rancangan kami adalah untuk mengawal permainan tetapi ini adalah pasukan yang akan sentiasa memberi tekanan dan cuba menjadi agresif. Kemungkinan kami akan mempunyai lebih banyak ruang untuk menyerang.”
Maresca mendedahkan penjaga gol yang sering kali melakukan kesilapan, Robert Sanchez bersedia untuk memulakan perlawanan menentang Arsenal selepas persembahan baiknya menentang Leicester.
Dia sebelum ini terlepas empat perlawanan liga berturut-turut berikutan siri kesilapan yang mahal.
Tetapi, selepas penggantinya yang muda, Filip Jorgensen bermain menentang Copenhagen, Maresca berkata Sanchez adalah pilihannya untuk pertembungan Stadium Emirates.
“Saya rasa Robert memerlukan beberapa hari cuti atau sekurang-kurangnya berehat secara mental,” kata Maresca. “Dia sudah kembali dan berharap kami tidak akan berubah sehingga akhir (musim).” – AFP
