LONDON, 21 JAN – Chelsea bangkit selepas kesilapan penjaga gol, Robert Sanchez, untuk menewaskan pasukan yang diancam penyingkiran, Wolves 3-1, kelmarin, menamatkan rentetan lima perlawanan tanpa kemenangan untuk kembali melonjak ke empat teratas Liga Perdana.
Pasukan Enzo Maresca hanya dua mata di belakang pendahulu, Liverpool, pada pertengahan Disember, meningkatkan harapan untuk cabaran kejuaraan.
Kini mereka kembali ke landasan yang tepat untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan selepas gol separuh masa kedua daripada Marc Cucurella dan Noni Madueke menyelamatkan Sanchez.
Penjaga gol Sepanyol itu melakukan kesilapan beberapa minit sebelum separuh masa, membolehkan Matt Doherty untuk menyamakan kedudukan selepas gol pembukaan Tosin Adarabioyo.
Maresca berkata, Chelsea menguasai 40 minit pertama sebelum masalah yang telah menghantui mereka dalam beberapa minggu kebelakangan ini muncul kembali.
“Kami kehilangan sedikit keyakinan, kami bolos satu gol dan kami mula bergelut sedikit dan kemudian separuh masa kedua saya rasa kami bermula dengan agak baik, kemudian selepas gol kedua dan ketiga permainan terkawal,” katanya kepada Sky Sports.
Tambahnya, “Dalam lima perlawanan lalu kami tidak menang tetapi prestasi permainan itu ada.
“Kami mencipta banyak peluang, kami tidak menjaringkan gol dan malam ini akhirnya kami menjaringkan tiga gol,” ujarnya.
Penjaring terbanyak Chelsea, Cole Palmer, mengalami kecederaan sebelum perlawanan, cergas untuk bermula apabila Maresca melakukan lima perubahan daripada keputusan seri menentang Bournemouth minggu lalu termasuk membawa masuk bek tengah, Trevoh Chalobah, yang dipanggil semula daripada tempoh pinjamannya di Crystal Palace. – AFP